Kategori Berita Utama

PH perlu selesai 2 isu utama sebelum dapat kelulusan RoS

20 NOV: Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan dua perkara utama bagi membolehkan pendaftarannya mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ia adalah senarai nama terbaru pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang masih belum diserahkan kepada RoS serta kegagalan PPBM dalam membuat Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dua perkara tersebut perlu diselesaikan segera supaya RoS boleh membuat tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini permohonan PH belum dapat  diluluskan memandangkan beberapa perkara belum dapat diselesaikan mereka sendiri.

“Tun Mahathir (Mohamad) meminta RoS memaklumkan kepada mereka jika terdapat ketidakperaturan atas permohonan yang dikemukakan agar PH boleh membuat pembetulan, kita sudah maklumkan” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Parlimen, Isnin.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Dalam masa yang sama Alwi turut berkata PH mesti menyelesaikan dua perkara itu dan kemudiannya RoS akan membuat tindakan selanjutnya bagi membolehkan PH bertanding menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pagi tadi, Tun Mahathir mengetuai perjumpaan pemimpin PH dengan KDN bagi mengetahui status pendaftaran gabungan itu yang masih belum diluluskan RoS.

Antara yang turut hadir adalah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAN, Mohamad Sabu,  Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Dalam pertemuan itu, KDN telah diwakili Alwi kerana Zahid mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dalam masa yang sama turut berkata beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk mengawal RoS meskipun berada di bawah KDN.

Menegaskan perkara itu, Zahid berkata badan tersebut akan bertindak secara professional tanpa terikat dengan sentimen politik.

Namun, parti gabungan PH itu perlu mematuhi perlembagaan parti mereka sendiri dan undang-undang yang ditetapkan RoS.

“KDN sangat berlapang dada dan terbuka hati bertemu pihak PH walaupun perjumpaan itu bukan secara formal dan kita merasakan bahawa RoS akan bertindak professional.

“Walaupun RoS di bawah Menteri Dalam Negeri,  saya tidak meletakkan tangan saya dalam mereka membuat cadangan untuk menerima atau sebaliknya terhadap permohonan PH,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 November 2017 7:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: