Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pihak berkuasa sentiasa tingkat kerjasama dengan Interpol kekang Daesh

23 OKT: Sebanyak 346 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh termasuk 95 rakyat negara ini ditahan sehingga 6 Okt lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri turut mendapat maklumat sebanyak 53 rakyat Malaysia terlibat dengan aktiviti keganasan di Iraq dan Syria dengan 34 daripada mereka maut.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagi memastikan Malaysia mengekang ancaman keganasan, pihak berkuasa sentiasa meningkatkan kaedah pemantauan dan kerjasama dengan Interpol dan negara luar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi soal lisan Dewan Rakyat di Parlimen

“Kerajaan masih belum berpuas hati dengan pencapaian kita dalam memerangi jenayah rentas sempadan namun kami yakin dengan kerjasama kita termasuk dengan pihak Interpol, unsur keganasan ini boleh dibendung,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berhubung usaha kerajaan memerangi jenayah rentas sempadan.

Ahmad Zahid berkata Malaysia menjalin kerjasama dengan negara-negara jiran dan Interpol dalam membentuk rangkaian perkongsian maklumat serta meningkatkan jaringan perisikan bagi menangani jenayah rentas sempadan.

“Kita juga telah memantau pintu-pintu masuk negara dengan menggunakan Advance Passenger Screening System (APSS) selain bekerjasama dengan kerajaan negara China di mana kedua-dua negara telah berjaya menghantar pulang penjenayah dikehendaki,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa

Dalam pada itu, mengenai jenayah pemerdagangan manusia, Ahmad Zahid berkata Malaysia akan sentiasa komited dalam memerangi masalah tersebut.

“Pendakwaan jenayah pemerdagangan manusia juga telah meningkat daripada seorang sahaja pada 2014, tujuh pada 2015, 100 orang tahun lepas dan 119 orang sehingga 10 Oktober ini. Ini menunjukkan keprihatinan kita dalam menangani isu ini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 October 2017 11:10 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: