Kategori Berita Utama

PKR ada agenda, elak ucap isu serius di Kongres

22 MEI: PKR dilihat mempunyai agenda tersendiri apabila mengelak untuk berucap pada perkara-perkara yang serius khususnya melibatkan hubungan antara PAS dan PKR.

Menurut Penganalisis Politik Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir ia adalah bertujuan untuk menjaga hubungan di antara kedua-dua parti itu daripada timbul pelbagai spekulasi serta menjaga kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat sering diasak berhubung krisis yang berlaku sekaligus menjadi tumpuan media kini.

Bagaimanapun tindakan Azmin serta Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengunci mulut daripada menjawab pelbagai persoalan akhirnya akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kongres PKR yang dilihat sangat ringan menjelang pilihanraya ke 14. Mereka mengelak untuk bercakap perkara serius. Lebih menumpukan kepada mengangkat Anwar sebagai calon PM jika pembangkang menang.

“Walaupun mereka selamat dalam kongres ini dengan tindakan berdiam diri dari menjawab pelbagai pertanyaaan baik dari media atau perwakilan, ini tidak bermakna mereka akan selamat sehingga PRU14 kerana pada saya masalah yang lebih serius akan timbul tidak lama lagi.

“Cuma pada saya mereka mengelak daripada pelbagai kontroversi ini kerana pada ketika ini isu PAS PKR dilihat tergantung dan Azmin dikritik hebat dari pelbagai sudut. Oleh itu lebih baik Wan Azizah yang dilihat tidak begitu berkredibiliti memimpin memutuskan hanya bercakap isu Anwar di penjara dan mengambil peluang untuk berkempen bagi pihak PKR untuk Anwar menjadi calon PM yang seterusnya jika mereka menang PRU 14,” katanya kepada BNBBC.my portal pada Isnin.

Dalam kongres yang berakhir semalam,Wan Azizah dilihat menggunakan taktik yang sama untuk terus bersandiwara di hadapan perwakilan serta pimpinan PH bagi meraih simpati tentang apa yang berlaku terhadap suaminya.

Menceritakan kepada umum tentang ‘kezaliman’ yang dibuat oleh kerajaan terhadap suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azizah menjelaskan air matanya masih belum kering sehingga hari ini.

Tambah Salawati lagi bercakap pula tentang isu pengagihan kerusi yang dikatakan tidak akan diserahkan kepada mana-mana rakan pembangkang, ia sudah memberi gambaran jelas akan pendirian PKR menjelang PRU nanti.

“Isu kerusi itu dilihat sebagai isyarat kepada pembangkang lain yang PKR tak mahu berkompromi dalam isu agihan kerusi lagi.

“Dalam hal ini juga, bukan sahaja pentadbiran di Selangor akan berlakunya masalah tetapi ada satu lagi isu baru akan timbul apabila gabungan pembangkang PH akan berebut sesama sendiri tentang kerusi yang  ditandingi. Bagaimana cara mereka selesaikan saya belum dapat mempastikan, tetapi saya dapat merasakan yang pakatan ini tidak akan kekal lama,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang yang Wan Azizah jadikan sebagai contoh terbaik, jelas Salawati ia sememangnya diakui oleh Ketua Audit Negara.

Namun harus diingat bahawa perkara tersebut tidak boleh menjelaskan yang pemimpin di negeri tersebut suci dari kesalahan rasuah dan sebagainya.

“Pentadbiran di kedua-dua negeri itu benar diakui keberkesanannya oleh Ketua Audit Negara…tapi itu pentadbiran negeri yang turut digerakkan oleh seluruh tenaga kerjanya dan kontroversi kedua-dua mereka ini tetap perlu disiasat dengan adil.

“Isu negeri mereka bagus tidak boleh menjadi tiket yang mereka berdua bersih dan suci dari kesalahan rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa,” ujarnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 May 2017 8:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: