Kategori Berita Utama

PKR arah ahli letak jawatan lantikan Kerajaan Kelantan

17 MEI: Susulan PAS membatalkan tahalul siyasi dengan PKR, semua pimpinan dan akar umbi parti itu di Kelantan diminta meletak semua jawatan lantikan secara politik di negeri itu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR.

“Kami sentiasa berusaha menjaga perhubungan dengan PAS selama ini, tetapi dengan terputusnya kerjasama ini, PKR berpendirian untuk mengatur langkah seterusnya bersama Pakatan Harapan dalam PRU ke-14 nanti.

“Arahan perletakan jawatan di Kelantan adalah serta merta,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang di Ibupejabat PKR, Petaling Jaya, Selasa.

Dr Wan Azizah bagaimanapun tidak mengulas lanjut arahan yang dikeluarkan itu, berkemungkinan ‘memberi tekanan’ kepada PAS Selangor untuk turut sama berbuat demikian serta keluar dari kerajaan negeri.

Sebelum itu, bekas senator PKR, Saiful Izham Ramli berpendapat parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu perlu mengarahkan ahlinya yang menerima lantikan politik daripada PAS meletak jawatan.

Namun Naib Presiden PAS merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk memecat ahli PKR yang memegang pelbagai jawatan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kedudukan tiga EXCO PAS dalam Kerajaan Selangor akan diputuskan sekembalinya Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari luar negara.

Pada minggu lalu Majlis Syura Ulama menamatkan kerjasama politik dengan PKR kerana mendakwa parti itu mengkhianati PAS.

Bagaimanapun tiga EXCO mereka iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Zaidy Abdul Talib serta ahli PAS yang memegang pelbagai jawatan secara lantikan belum meletak jawatan bersandarkan alasan bahawa mereka mendapat mandat rakyat pada PRU-13.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dilaporkan berkata, EXCO berkenaan tidak boleh dipecat kerana terikat dengan ba’iah.

Situasi ini menyebabkan Kerajaan Selangor sedikit rapuh memandangkan PAS adalah bekas sekutu Pakatan Rakyat selepas pilihanraya Mei 2013.

Share This:




Berita Bertarikh pada 17 May 2017 12:53 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]