Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PKR: Insiden Kluang jejas semangat Ramadan

12 JUN: Di dalam suasana bulan mulia, PKR melahirkan rasa kesal susulan tindakan sekelompok umat Islam yang menghalang Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan rakan-rakan daripada mengedar kurma di pasar Ramadan di Kluang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab itu tidak bersandarkan kepada ajaran Islam serta menjejaskan semangat bulan Ramadan.

“Bulan ini merupakan bulan yang menyediakan ruang untuk mendalami pemahaman Islam di kalangan yang beragama Islam mahupun bukan Islam dan merupakan peluang terbaik untuk berdakwah dengan hikmah dan berhemah.

“Malangnya peluang ini dilepaskan akibat tindakan sekelompok yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum itu dalam kejadian Sabtu lalu, rakaman video berdurasi 5:28 minit menjadi tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan ahli politik pembangkang diusir  serta dikasari oleh sekumpulan lelaki daripada memasuki bazar Ramadan.

Insiden berkenaan turut dikecam netizen termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Semalam dua suspek yang menimbulkan kekecohan sehingga mencederakan seorang lelaki menyerah diri di Ibu Pejabat  Daerah (IPD) Kluang dan disiasat kerana mendatangkan kecederaan serta membuat ugutan jenayah.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata niat wakil rakyat DAP, Chin Tong serta yang lain mengedar buah kurma kepada orang ramai tidak wajar dihalang.

“Sehubungan itu, kami menggesa semua pihak supaya menjaga keharmonian dan perpaduan di kalangan masyarakat serta menolak budaya perkauman dan tindakan ekstremis,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 June 2017 8:05 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: