Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PKR Kelantan tak hadir angkat sumpah MDPP

22 MEI: Tiga ahli PKR Kelantan yang menerima lantikan secara politik sebagai Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) tidak hadir pada majlis angkat sumpah yang diadakan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kegagalan ketiga-tiga mereka hadir tidak memberi kesan kerana kerajaan negeri masih bersikap terbuka.

“Bagi kita selagi tidak ada surat rasmi peletakan jawatan maka pelantikan itu kekal. Kita akan beri masa dan melihat kepada situasi dan perkembangan selanjutnya, setakat ini kita tidak terima apa-apa hitam putih termasuk daripada wakil PKR yang sudah mengangkat sumpah di beberapa majlis daerah.

“Kita melantik 37 wakil dari PKR sebagai Ahli Majlis di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini supaya mereka dapat bersama menyumbang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis MDPP di sebuah hotel di Kota Bharu.

Pada majlis itu, seramai 20 daripada 23 Ahli Majlis MDPP yang dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua MDPP, Mohd Anis Hussin.

Ketiga-tiga wakil PKR yang tidak hadir adalah Mohd Rosdan Hassan dan Suzila Semail yang merupakan lantikan semula manakala seorang lagi Nor Rosmini Mohd Nor adalah lantikan baharu.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir mengumumkan pihaknya akan melepaskan semua 75 jawatan yang disandang wakil mereka dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan perletakan jawatan serta-merta pada minggu lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 May 2017 4:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: