Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PKR letak calon tewas di PRK Balingian

16 MAC: Menjelang hari penamaan calon esok, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan bekas calon parti itu yang tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 lalu, Abdul Jalil Bujang, sebagai calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian.

Pemilihan Abdul Jalil, 55, diumumkan oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, di Hotel Paramount, Kuching, Ahad.

Abdul Jalil, yang kedua ibu bapanya berasal daripada Mukah, adalah bekas pegawai eksekutif Petronas.

Beliau sekarang adalah ahli perniagaan di Bintulu dan juga Setiausaha Cabang PKR Bintulu.

Calon PKR BalingianPRK bagi kerusi DUN Balingian kosong berikutan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari lalu.

Ramai menjangka PRK itu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan majoriti suku kaum Melanau itu.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah berkata, tempoh penamaan calon adalah dari jam 9 hingga 10 pagi Isnin dan calon yang ingin mengemukakan borang pencalonan dinasihati membawa bersama wang pertaruhan RM5,000, seorang pencadang dan seorang penyokong.

“Kami menjangka semua urusan esok berjalan lancar dan berharap calon yang akan bertanding bagi kerusi ini dapat diumumkan sejurus selepas berakhirnya tempoh penamaan calon,” katanya pada Ahad.

Bagi BN, semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bekas Pegawai Daerah Dalat, Yossibnosh Balo, 47, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu.

Dalam pilihan raya negeri 2011, Abdul Taib mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu merupakan kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus.

Pengundi lain ialah dari masyarakat Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus), Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 peratus).-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 March 2014 3:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: