Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PKR putuskan kedudukan 3 Exco PAS Selangor esok

15 MEI: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memaklumkan butiran mengenai perjumpaan beliau bersama Pesuruhjaya PAS dan tiga Exco PAS pada malam esok kepada Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pada sidang media sebentar tadi dengan menjelaskan yang kedudukan tiga exco PAS Selangor akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR malam esok.

“Malam esok kami ada biro politik mingguan tapi semalam Datuk Seri Azmin telah memberikan kemas kini kepada saya dan memaklumkan tentang butiran pertemuan di antara beliau dan Pesuruhjaya dan tiga Exco PAS yang berlangsung Jumaat lalu.

“Dan kepada Presiden saya tak pasti tapi esok biro politik ada mesyuarat, saya pasti akan disampaikan (kepada Presiden),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan status Exco PAS di Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama parti itu yang memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin turut diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin bahawa parti itu terbuka bertahaluf dengan UMNO.

Jelasnya, PAS bebas bertahaluf dengan mana-mana pihak namun benar tahaluf PAS-UMNO berlaku, ia memberi gambaran yang jelas kepada rakyat mengenai sikap dan pendirian sebenar parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Dia bebas bertahaluf dengan siapa seperti mana dia bebas buat keputusan untuk berkawan dan putus dengan siapa.

“Kalau kenyataan itu benar, ia semakin menjelaskan pendirian PAS dalam menentukan sikap menghadapi pilihan raya ini dan membantu rakyat Malaysia membuat pilihan.. pilihan dia (PAS) undi siapa,” katanya lagi.

Hashim semalam dilaporkan sebagai berkata, PAS terbuka untuk bertahaluf dengan UMNO pada masa akan datang, berikutan sikap yang ditonjolkan parti itu terutamanya Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang mengutamakan konsep Islam dalam pentadbirannya.

Namun Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata mereka boleh bekerjasama dengan UMNO namun tidak dalam tempoh sekarang, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 May 2017 2:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: