Kategori Ekonomi

PKS hadapi cabaran ekonomi digital

11 OKT: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu meneroka segmen digital agar kekal bersaing serta mendominasi perniagaan yang mereka jalankan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Pengasas dan Presiden Festival Usahawan Malaysia (TMEF), Ng Eng Heng, berkata pada era baru digital, setiap usahawan perlu meningkatkan penguasaan teknologi terkini agar kekal relevan sejajar dengan perkembangan semasa.

Katanya, PKS perlu memahami langkah strategik untuk meningkatkan daya saing sejajar pengumuman kerajaan, tahun 2017 adalah Tahun Ekonomi Internet bagi memacu ekonomi ke arah revolusi digital.

“Untuk kekal bersaing serta mendominasi perniagaan adalah penting bagi PKS memanfaatkan segmen digital yang akan memacu perniagaan mereka,” katanya berucap pada Sidang Kemuncak PKS TMEF, di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.

Program itu disertai usahawan PKS dan penggerak ekonomi digital seperti syarikat Konica Minolta, Panasonic, Cisco Malaysia, MYNIC Berhad dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam pada itu, Eng Heng berkata Sidang Kemuncak PKS TMEF menjadi platform untuk menyusun transformasi yang akan membantu PKS menghadapi cabaran dan halangan mereka dalam industri masing-masing.

Katanya, peserta bersemuka dan mendengar pandangan berharga sesama mereka dan wakil penggerak ekonomi digital yang dijemput menghadiri program berkenaan.

Beliau berkata, mereka didedahkan dengan panduan untuk mencapai kejayaan lebih besar menerusi peluang pasaran yang pelbagai dengan memberi tumpuan kepada akses mendorong kepada penggunaan teknologi digital.

“Transformasi ke arah ekonomi digital perlu dilakukan penggerak PKS agar perniagaan mereka terus berkembang sejajar perkembangan semasa, sekali gus tidak gulung tikar kerana gagal menguasai teknologi.

“Ini adalah satu transformasi untuk meningkatkan pengetahuan PKS berhubung kemajuan teknologi dan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada perniagaan mereka,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 11 October 2017 5:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]