Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PM: China berperanan redakan ketegangan di Semenanjung Korea

30 APRIL: Berikutan kebimbangan negara ASEAN terhadap ketegangan yang sedang memuncak di Semenanjung Korea, China dilihat boleh memainkan peranan yang besar dalam meredakannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ASEAN perlu mencari jalan dan cara untuk mengurangkan ketegangan yang kegusaran awam atau nuklear yang boleh menjadi bencana yang sukar dibayangkan.

“Melihat kepada pelbagai pilihan termasuk sama ada China boleh memainkan peranan lebih besar untuk memujuk Korea Utara bagi mengubah kedudukannya yang agak agresif dan lebih menurut harapan komuniti global.

“Dan kembali kepada rundingan enam pihak atau setidak-tidaknya berhenti melancarkan peluru berpandu buat seketika pada masa sekarang,” katanya apabila ditanya tentang maklum balas pemimpin ASEAN mengenai isu di Semenanjung Korea, pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30, Manila, Ahad.

Sebelum ini, rundingan enam pihak antara Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Rusia dilaporkan sedang berjalan, bertujuan mencari penyelesaian kepada keamanan dan keselamatan berhubung program nuklear negara rejim komunis itu.

Katanya banyak pihak melahirkan kebimbangan dengan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea termasuk Filipina.

“Kita berharap pihak pihak yang berkenaan yang ada pengaruh di sana dapat memainkan peranan supaya Korea Utara tidak melakukan provokasi yang berlebihan sehingga berlaku satu kejadian yang tidak diingini nanti,” kata beliau.

Isu Korea Utara menjadi tumpuan utama pada Sidang Kemuncak yang diadakan di Metro Manila.

Semalam, Presiden Rodrigo Duterte turut melahirkan rasa prihatinnya dan dilaporkan berkata ASEAN bimbang dengan isu Korea Utara.

“Mangsa pertama kepala peledak nuklear ialah Asia dan ASEAN, oleh itu ia bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) yang memegang tongkat besar untuk berhati-hati dan sabar.

“AS perlu berhati-hati dan bersabar dalam berhadapan dengan Korea Utara yang pemimpinnya beria-ia untuk melepaskan peluru berpandunya,” katanya dan menambah beliau akan menelefon Presiden AS, Donald Trump berkenaan sarannya itu.

Menurut laporan media tempatan Filipina, kedua-dua pemimpin terbabit berbual sekitar 11 malam pada Sabtu.

Sementara itu Najib menegaskan pendirian Malaysia berhubung Kod Tatalaku (CoC) dan berharap ia akan diperhalusi dan diterima menjelang akhir tahun ini.

“CoC akan menjadi ikatan sah kepada semua pihak bagi memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di Laut China Selatan,” katanya.

CoC dicetuskan susulan wujud tuntutan bertindih pada sesetengah kawasan di Laut China Selatan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 April 2017 1:10 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: