Kategori Berita Utama

PM: Jika media tidak bersetuju, biarlah berfakta

21 APRIL: Pengamal media digesa membantu kerajaan dalam menepis penularan berita palsu yang semakin berleluasa melalui  laporan berita dengan fakta yang tepat serta sahih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memandang serius kewujudan ‘berita palsu’ yang secara berleluasa.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama pemenang Anugerah Kajai pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 anjuran Persatuan Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2016 di Hotel Shangri La Kuala Lumpur.

“Jika tidak dibendung dan dikawal, ianya akan mengancam keselamatan negara daripada pelbagai sudut. Justeru, pengamal media dan wartawan bantulah kami untuk bangunkan negara, jadikan Malaysia lebih makmur bagi menentukan kesejahteraan hidup rakyat.

“Bantulah kerajaan dalam menyampaikan kebenaran dan bukan bersandarkan kepada berita palsu. Kita mempunyai masa depan yang cukup cerah. Jangan kata kita sebuah negara yang gagal atau bankrap. Kita perlu tolak sama sekali berita palsu.

“Saya akan berjuang untuk pastikan Malaysia menjadi 20 negara termaju dalam masa beberapa tahun akan datang. Anda boleh tidak bersetuju dengan kerajaan tetapi biarlah secara berfakta,” katanya pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2017, di Kuala Lumpur, Jumaat.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor,  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2017, Datuk Dr Chamil Wariya serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Sementara itu , kumpulan wartawan dari akhbar The Star dipilih memenangi Hadiah Kajai, sekali gus membawa pulang wang RM30,000 atas laporan berbentuk penyiasatan ‘Predator In My Phone’ iaitu jenayah seksual kanak-kanak

Najib berkata, rakyat hari ini berada pada era pasca-kebenaran, sekali gus menjadikan peranan dan tanggungjawab wartawan serta media membangunkan masyarakat dengan maklumat yang sahih.

“Saya katakan ini kerana dalam era pasca-kebenaran, kehadiran berita palsu dalam pelbagai platform media sosial sudah menjadi lumrah.

“Apa yang menyedihkan masyarakat menerima secara bulat-bulat apa yang disogokkan dan  tidak dapat membezakan antara intan dan kaca. Maka ia perlu dibendung untuk keselamatan negara,” katanya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 21 April 2017 11:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]