Kategori Berita Utama

PM: Pengiat seni berperanan besar dalam TN50

17 MEI: Karyawan dan penggiat seni negara tidak dipinggirkan sebaliknya kedudukan mereka perlu senada dengan arus perdana negara terutama menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penggiat seni bukan setakat penghibur tetapi memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara terutama dari segi memajukan industri kreatif dan hiburan.

Tegas beliau, jika mahu membentuk rupa bangsa dan membina nilai sikap serta budaya, ianya bergantung pada penggiat seni terutama pelakon, penyanyi, pelawak dan pekerja industri hiburan.

“Penggiat seni boleh dijadikan idola dan ikutan. Jika penggiat seni mampu menjadi ikutan, mereka boleh bantu membentuk generasi akan datang untuk mengangkat martabat negara dan seterusnya dijadikan aspirasi negara.

“Pendekatan aspirasi negara sudah berubah dan era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir di mana kini sudah tiba rakyat berkongsi minda dan aspirasi rakyat untuk membina kebersamaan antara kerajaan, ” katanya pada sesi Dialog TN50 Perdana Menteri bersama Penggiat Seni di Seri Perdana, malam tadi.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak serta Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Lebih 400 artis, karyawan dan penggiat seni tanah air hadir pada program dialog berkenaan dengan sesi dialog dikendalikan pelakon, Datuk Rosyam Nor.

Dalam pada itu, Najib berkata, sesi dialog ini mencatat sejarah tersendiri kerana berjaya mengumpulkan ramai penggiat seni dalam satu majlis.

Program diadakan bertujuan mendengar sebarang isu berbangkit berkaitan industri selain aspirasi dan harapan penggiat seni bagi tiga dekad akan datang menjelang TN50.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 May 2017 11:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: