Kategori Berita Utama

PM: Pengiktirafan negara luar untungkan rakyat Malaysia

3 JUN: Pengiktirafan Malaysia di persada antarabangsa semakin tinggi sehingga membolehkan rakyat negara ini menikmati pelbagai keistimewaan berkaitan agama dan ekonomi dari luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penghormatan tinggi juga membolehkan Malaysia menerima pelaburan daripada Saudi Arabian Oil Company (Saudi ARAMCO) di Pengerang, Johor bernilai RM31bilion.

“Maksudnya kita untung dari segi ekonomi dan Islam, mudah-mudahan usaha kita mewujudkan Kompleks Tabung Haji di Makkah dan Madinah dapat direalisasikan yang membolehkan kita mengawal kenaikan kos mengerjakan ibadat haji supaya ia di paras lebih rendah.

“Ekonomi kita juga baik di mana untuk suku pertama tahun ini kita mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus manakala nilai mata wang kita juga mencatatkan prestasi terbaik di ASEAN.

“Kejayaan ini kita pulangkan kepada rakyat antaranya pembayaran khas RM500 kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara sempena Aidilfitri dan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) pusingan kedua pada 5 Jun depan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Ijtima’ Kepimpinan Organisasi Dalam Konteks Islam di Dewan Amphitheater Bangunan UMNO Bahagian Pekan, Sabtu.

Menurut Najib lagi antara keistimewaan lain dinikmati  negara adalah menjadi antara lima daripada 51 negara diberi peluang berucap pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat serta penambahan kuota haji

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan menyumbangkan wang tunai dan barangan keperluan sumbangan UMNO Bahagian Pekan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Pekan.

Sebanyak 60 masjid menerima RM1,500 setiap satu manakala 166 surau menerima RM1,000. Beliau turut menyampaikan buah kurma dan air zam-zam disumbangkan Kelab Putera 1Malaysia.

Turut hadir, Pengerusi Tabung Haji,  Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 June 2017 4:49 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: