Kategori Berita Utama

PM sambut baik kenyataan Kuok, hargai jasa pemimpin

27 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyambut baik kenyataan tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok bahawa beliau menghargai setiap peluang yang diberikan kepadanya, selain mengiktiraf sumbangan masyarakat Malaysia dalam pembangunan negara.

Setiausaha Akhbar Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata Kuok turut menyatakan beliau menghargai pemimpin Malaysia yang sepanjang hidup mereka melakukan apa saja yang mampu untuk menyumbang kepada kesejahteraan rakyat negara ini.

Tengku Sariffuddin berkata, kenyataan Kuok itu sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri minggu lalu bahawa walaupun bersikap rajin, berdisiplin dan tekun, bantuan kerajaan tetap menjadi ‘anak kunci’ yang membuka peluang kepada kejayaan itu.

“Perdana Menteri menyatakan dasar kerajaan adalah kunci yang membuka peluang dalam bidang pendidikan, perniagaan dan pekerjaan yang akan membolehkan individu mencapai kejayaan.

“Beliau mengambil contoh kejayaan Tan Sri Robert yang menjadi individu terkaya di Malaysia, seorang yang rajin, berdisiplin dan tekun bekerja, yang mencapai kejayaannya selepas mendapat peluang untuk memonopoli perniagaan beras dan gula daripada kerajaan suatu ketika dulu.

“Kejayaan Tan Sri Robert sebagai usahawan adalah satu cerita kejayaan Malaysia dan ia menjadi inspirasi kepada golongan usahawan untuk berjaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, ketika berucap merasmikan Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Tengah di Serdang, Perdana Menteri berkata, bantuan kerajaan membolehkan Kuok menjadi individu terkaya di Malaysia walaupun jutawan itu diakui memiliki hak tersendiri dan rajin bekerja.

Sebelum itu, penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin, menerusi portal www.malaysia-today.net mendakwa Kuok mempunyai agenda menggantikan pemerintahan kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

Raja Petra mendakwa, Kuok dikatakan mahukan gelombang perubahan dalam kalangan orang Melayu ke arah mencapai hasrat berkenaan.

Bagaimanapun, Kuok dalam satu kenyataan menerusi pejabatnya semalam, menafikan dakwaan itu dan berhasrat mengambil tindakan terhadap portal berkenaan dan pengarangnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 February 2018 7:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: