Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Polis ambil keterangan Isa Samad minggu depan

27 DIS: Polis akan memanggil bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung isu tanah FELDA di Jalan Semarak, minggu depan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata kenyataan Isa penting bagi membantu siasatan kes terbabit kerana beliau adalah pengurusan tertinggi FELDA ketika itu.

“Siasatan awal polis mendapati Tan Sri Isa (Samad) adalah individu penting yang boleh membantu siasatan kes tanah FELDA dan minggu depan polis akan memanggil beliau untuk diambil keterangan.

“Beliau sebagai Pengerusi FELDA ketika itu ada kaitan dengan keputusan melabur, itu mesti (disiasat),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, polis sudah mengambil keterangan lebih lima individu terdiri daripada pegawai FELDA, Pejabat Tanah dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kes berkenaan.

“Tindakan awal sudah diambil. Polis sudah rakam beberapa percakapan dan mengambil dokumen berkaitan syarikat yang terbabit dalam kes ini daripada SSM.

“Polis juga sudah pergi ke Pejabat Tanah bagi menyiasat proses penukaran tanah (FELDA). Kita akan melihat dan meneliti untuk menjalankan siasatan lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijangka akan lebih rancak minggu depan apabila polis mengambil keterangan individu penting dan dokumen berkaitan berhubung kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana penipuan serta pemalsuan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Mohd Isa bagi membantu siasatan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 December 2017 12:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: