Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Polis menyamar pantau peniaga jual mahal

25 JAN: Dakwaan kerajaan serta menteri Kabinet tidak prihatin serta tidak mengambil inisiatif membantu rakyat menghadapi masalah kenaikan harga barang serta peningkatan kos hidup jelas meleset apabila satu lagi langkah diumum pada Sabtu.

Polis berpakaian preman akan diaturgerak membuat penyamaran bagi membantu pegawai serta penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau harga barang keperluan khususnya makanan di pasar borong dan premis perniagaan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setuju akan membantu menangani tindakan peruncit dan pemborong yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

“Kita tidak akan menghantar pasukan berpakaian seragam untuk memantau tetapi anggotayang berpakaian biasa dan berlakon sebagai pelanggan untuk memantau harga barang dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang kita ada,” katanya selepas merasmikan majlis ramah mesra rakyat bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Bagan Datoh, Perak, Sabtu.

Zahid Hamidi SPNB Bagan Datoh 25 JanAhmad Zahid berkata PDRM sudah meneliti mekanisme mengenai harga barang di peringkat pemborong sebelum ia dijual kepada peruncit.

“Kita telah membuat kajian mengenai harga yang dibeli oleh pemborong sebenarnya murah, tetapi apabila dijual dengan harga melampau kepada peruncit, maka peruncit terpaksa menaikkan harga barangan,” katanya sambil menegaskan tindakan itu bukan bertujuan mengganggu peniaga, sebaliknya bagi membantu kerajaan ekoran ada segelintir peniaga menyalahkan kerajaan kerana menaikkan harga barangan sedangkan mereka yang melakukannya.

“Saya melakukan ini bersama-sama dengan pegawai dan anggota polis atas keprihatinan terhadap apa yang sedang berlaku di pasaran sekarang.

“Saya tidak mahu campur dalam hal ehwal kepenggunaan kerana ia dalam bidang kementerian lain tetapi kita akan bekerjasama mengikut bidang kuasa PDRM,” kata Ahmad Zahid.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 January 2014 3:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: