Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Polis nafi laporan media selesai kira jam tangan

14 JUN: Polis hari ini menolak laporan media mengatakan pasukan itu siap mengira jam tangan yang dirampas dalam siasatan 1MDB dengan berkata ia masih dalam proses mengenalpasti, menentukan ketulenan dan menilai barangan berharga itu.

Dalam kenyataannya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Amar Singh berkata laporan akhbar China Press bahawa pihak polis telah siap mengira 433 utas jam tangan dikatakan bernilai RM80 juta bersifat ‘pramatang’.

Dalam laporannya semalam China Press berkata jam paling mahal, dipercayai jenama Rolex berharga RM3.5 juta, sementara jenama lain termasuk Patek Philippe dan Richard Mille.

China Press juga melaporkan pakar mengambil masa 5 hari, bermula 30 Mei lepas untuk selesai mengira 6 beg berisi jam tangan tersebut.

Amar menasihatkan media dan orang ramai bersabar dalam isu itu.

“Satu sidang media rasmi akan kami adakan untuk memaklumkan nilai sebenar jam dam barangan kemas lain selepas proses penentuan ketulenan dan nilaiannya selesai,” katanya memetik laporan media hari ini.

Bulan lepas polis menggeledah beberapa premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penggubahan wang berhubung 1MDB.

Penggeledahan menemui 72 beg berisi wang tunai dan barang berharga lain, dan hampir 300 kotak beg tangan mewah.

Polis berkata sejumlah RM114 juta wang tunai ditemui dalam 35 daripada 72 beg tersebut, sementara baki 37 beg lagi mengandungi barang kemas dan barang berharga lain.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 June 2018 6:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: