Kategori Berita Antarabangsa

Pompeo bakal ubah hala tuju diplomasi AS

14 MAC:  Keputusan memecat Ketua Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson sebenarnya sudah dijangka, kata Stephen Pomper.

Menurut Pengarah Program Krisis Antarabangsa AS itu, cakap-cakap tentang pemecatan Tillerson bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah lama diperkatakan.

Ia berikutan percanggahan pendapat antara Presiden Donald Trump dan bekas Ketua Eksekutif Exxon Mobil yang berusia 65 tahun itu dalam banyak perkara termasuk rundingan Korea Utara serta perjanjian nuklear Iran.

Trump menerusi Twitter pada Selasa mengumumkan Tillerson bakal digantikan dengan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

Penganalisis melihat tindakan Trump itu bakal mengubah hala tuju diplomasi negara Uncle Sam itu secara signifikan.

“Pemecatan Tillerson sememangnya sesuatu yang telah lama diperkatakan sebelum ini. Namun menarik untuk kita lihat kesannya kepada proses rundingan Korea yang menjadi fokus semua pihak ketika ini. Ia memerlukan kepimpinan yang kuat dari pihak Jabatan Negara,” katanya dalam satu temubual bersama AP.

Tillerson merupakan antara orang kuat dalam rundingan Korea Utara berhubung program pembangunan nuklearnya biarpun seringkali diperkecilkan Trump yang menganggap usaha itu sebagai sia-sia.

“Setiausaha Pompeo mungkin akan lebih rapat dengan Presiden berbanding Tillerson. Tetapi saya juga ada beberapa kebimbangan, kerana banyak dasar yang diperjuangkan Pompeo mungkin meletakkan kerajaan AS dalam keadaan ‘berbahaya’,” ujarnya merujuk kepada dasar Pompeo yang bakal memberi kesan kepada diplomasi AS.

Pompeo merupakan antara individu yang agresif membantah perjanjian nuklear Iran, dijangka pengaruhi keputusan Trump untuk menarik diri daripada perjanjian itu.

Namun lebih membimbangkan adalah kecenderungan dasar Pompeo untuk mengembalikan zaman penyeksaan tahanan era pentadbiran George W. Bush.

“Pandangannya terhadap penyeksaan adalah sedikit melampau. Malah, dia (Pompeo) pernah mengangkat mereka yang melakukan salah laku semasa pemerintahan Bush sebagai wira,” ujar Pomper lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 March 2018 9:57 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: