Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PPBM DUN Alor Mengkudu ditutup, keluar parti

13 APRIL: PPBM Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu lumpuh apabila seramai 15 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan itu hari ini mengumumkan keluar parti kerana kecewa dengan pencalonan Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai calon gabungan pembangkang PKR di DUN tersebut.

Jurucakap yang mewakili kumpulan itu, Muhamad Rizal Zainol Abidin mendakwa, seramai 4,000 ahli PPBM kawasan itu turut mengikuti jejak mereka.

Kata beliau, pihaknya menzahir tindakan itu kerana kesal dan tidak berpuas hati berhubung pengagihan kerusi DUN dan Parlimen membabitkan gabungan pembangkang di Kedah.

Menurutnya, pihaknya tidak menyangka tiba-tiba DUN Alor Mengkudu diberikan kepada calon PAN walaupun bekerja keras keras hampir dua tahun dengan menyiapkan jentera serta berjaya mempengaruhi, merekrut penduduk agar menyokong gabungan tersebut.

“Kerusi DUN ini sepatutnya diberi kepada calon PPBM tetapi sebaliknya diberi kepada pemimpin yang jelas tidak dikenali dan gagal memberikan khidmat selama ini kepada pengundi di kawasan ini.

“Ia jelas satu pengkhianatan kepada kami dari 15 PDM yang sebelum ini sudah dipersetujui berhubung agihan kerusi bahawa DUN Alor Mengkudu diberi kepada PPBM dan ini adalah helah politik yang menjengkelkan serta tidak berprinsipkan keadilan dengan mengenepikan sumbangan pihak PPBM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kenduri Rakyat DUN Alor Mengkudu di Jalan Datuk Kumbar hari ini.

Susulan daripada itu, kumpulan tersebut mengambil keputusan untuk menyertai UMNO berkuatkuasa serta merta diikuti simbolik menyarung baju biru sebagai tanda sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Lantaran itu, Muhamad Rizal berkata, pihaknya memutuskan untuk membubarkan kesemua 16 PDM PPBM dan jentera Pilihan Raya DUN Alor Mengkudu.

Tambahnya, pihaknya juga akan memboikot segala kerjasama bagi membantu calon dari PAN sekali gus membolehkan calon BN menang.

“Kami juga mendokong kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah supaya terus kekal sebagai Pengerusi BN dan menjadi Menteri Besar Kedah untuk penggal seterusnya,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 April 2018 6:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: