Kategori Berita Utama

PPBM mungkin dilarang bertanding PRU-14

16 NOV: Calon dari PPBM berkemungkinan disekat daripada bertanding di bawah tiket parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Pengarah Jabatan Pertubuhan Malaysia (RoS), Surayati Ibrahim berkata ia berikutan pertubuhan itu didapati melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966 selepas gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam tempoh setahun selepas ditubuhkan.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh dalam kenyataan hari ini dilaporkan berkata partinya sudah menghantar permohonan penangguhan mesyuarat sehingga tahun hadapan.

ADUN Jorak itu juga memberikan alasan bahawa parti itu dalam proses menubuhkan cawangan di seluruh negara sebagai memenuhi syarat RoS.

Mengulas perkara itu, Surayati berkata penangguhan itu tertakluk kepada perlembagaan parti, yang perlu mengadakan mesyuarat itu dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, beliau berkata alasan pimpinan PPBM disebalik kegagalan mengadakan AGM juga tidak boleh diterima.

“Kelemahan dari segi struktur dalaman parti bukan masalah kita.

“Sepatutnya mereka perlu selesaikan segera supaya mereka dapat buat AGM dan boleh sertai PRU,” katanya selepas merasmikan Kursus Pengukuhan Pertubuhan Berkualiti dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Persatuan Bersama RoS, di Kuala Terengganu hari ini.

Selain itu, Surayati (foto) berkata terdapat kebarangkalian bahawa parti itu diarahkan untuk dibubarkan sekiranya masih gagal mematuhi tempoh rayuan yang ditetapkan.

Berdasarkan perlembagaan PPBM, mesyuarat cawangan perlu diadakan dalam tempoh 14 hari sebelum mesyuarat bahagian, manakala mesyuarat perwakilan bahagian dalam tempoh 60 hari sebelum mesyuarat agung dilaksanakan.

Bagaimanapun, menurut Surayati, RoS akan mengadakan pertemuan dengan wakil parti itu pada 30 November depan untuk perbincangan lanjut.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 November 2017 8:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: