Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PPBM-PAS: Muhyiddin masih menaruh harapan

30 APRIL: Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan partinya dalam keadaan terumbang-ambing serta melabelkan pemikiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai bercelaru.

“Tak ada, kita tak celaru. Mungkin pemikiran Hadi yang celaru agaknya,” kata bekas Timbalan Presiden UMNO itu.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi Pakatan Harapan berhubung logo gabungan parti pembangkang itu di Yayasan Selangor, Ahad.

Sebelum itu, Hadi semasa ucapan perasmian Muktamar PAS di Kedah menegaskan bahawa partinya tidak akan mengadakan sebarang hubungan dengan PPBM.

Susulan kenyataan oleh Hadi, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau tiada masalah jika PAS menolak kerjasama dengan partinya.

Mengulas lanjut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata Hadi tidak faham akan situasi sebenar partinya.

Bagaimanapun, Muhyiddin percaya PAS dan PPBM masih berpeluang untuk menjalin hubungan kerjasama bagi menghadapi PRU-14.

“Terserah kepada mereka. Kalau sudah muktamad, maka kita tak boleh kata nak meneruskan kerjasama tapi saya tahulah di peringkat-peringkat tertentu masih ada minat daripada pimpinan PAS untuk bekerjasama dengan kita,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Namun, Muhyiddin berkata pihaknya akan mengambil ketetapan oleh PAS itu sebagai panduan bagi mereka meneruskan  usaha memperkuatkan barisan pembangkang.

Tegasnya sisa-sisa harapan masih ada berikutan Timbalan Presiden parti itu, Datuk ‎Tuan Ibrahim Tuan Man pernah membuat kenyataan bahawa berkata PAS masih berunding dengan PPBM.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 April 2017 9:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: