Kategori Berita Utama

PPBM tak sedar diri baru setahun jagung selar PAS

3 JAN: PPBM sepatutnya sedar parti itu ‘setahun jagung’, tegas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sehubungan itu tambah beliau, sewajarnya parti serpihan UMNO itu yang berundur dan memberi laluan kepada Pas untuk bertanding di kawasan tradisinya.

Jika sebaliknya menurut Mohd Amar, tuduhan yang sering dilemparkan kepada Pas yang kononnya membantu kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) adalah cerminan kepada PPBM kerana merebut kerusi yang ingin ditandingi oleh Pas.

“Kalau betul-betul nak jatuhkan UMNO, dia (PPBM) tidak perlu bertanding di kawasan yang Pas bertanding.

“Dia (PPBM) tu yang sepatutnya berundur sebab dia pendatang baru.

“Patutnya PPBM jangan kacau kawasan Pas kalau betul-betul nak jatuhkan BN ini nak bertanding di Kelantan kerusi yang Pas bertanding di luar juga yang tempat Pas bertanding, jadi siapa yang nak bantu BN ni?,” katanya dipetik media.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang medianya hari ini yang menyifatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ‘pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri’.

Gelaran itu dtujukan kepada Hadi ekoran pengumuman parti berkenaan yang mahu bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mohd Amar kemudiannya memberi amaran kepada PPBM agar tidak menggangu kerusi tradisi Pas pada pilihan raya akan datang, sebaliknya memilih 90 kerusi Parlimen lain.

“PPBM yang kacau kerusi orang, semua ada kerusi masing-masing.

“Masing-masing ada kawasan kan? Kenapa yang nak bising sangat? Kerusi Parlimen ada 222, Pas nak bertanding di 120 sahaja, apa yang masalahnya? Pas pun mahu bertanding di kawasan yang biasa kita bertanding,” tambahnya.

Jika sebelum ini sering kali Pas dikatakan sebuah parti yang lemah, namun kini Amar secara berseloroh hairan tindakan PPBM secara konsisten menyerang parti itu tatkala pilihan raya semakin hampir.

“Sepatutnya Tun M serang UMNO, ini dalam pembangkang pun dia serang jadi saya pun tak faham siapa sebenarnya Tun M nak lawan ni?

“Selalu kata Pas lemah sebelum ini. Jadi apa yang nak sibuk pasal Pas lagi,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 January 2018 6:39 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: