Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PPSR menunjukkan pencapaian baik

23 NOV: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 merumuskan murid darjah enam tahun ini secara keseluruhannya menunjukkan pencapaian baik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, keempat-empat elemen diambil kira dalam PPSR menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Beliau berkata, prestasi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

“Peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum iaitu gred E dalam semua mata pelajaran turun sebanyak 0.7 peratus iaitu 1.5 peratus pada tahun ini berbanding 2.2 peratus pada 2016.

“Peratusan calon mendapat semua A pada tahun ini meningkat iaitu sebanyak 8,958 calon berbanding 4,896 calon pada tahun 2016,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman PPSR 2017, hari ini.

Mengenai Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Amin berkata, prestasi yang baik dan kepujian dalam aktiviti kokurikulum ditunjukkan oleh sebilangan besar murid iaitu 24,612 memperoleh gred A, (302,018 gred B), (100,331 gred C), (10,598 gred D) dan 637 murid mendapat gred E.

“Bagi ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (Segak), sebanyak 40,957 murid berada pada tahap kecergasan sangat tinggi.

“Manakala bagi ujian Indeks Jisim Badan (BMI) memperlihatkan 268,314 murid mempunyai badan normal dan 58,294 murid pula mempunyai berat badan berlebihan,” katanya.

Selain UPSR dan PAJSK, dua elemen lain yang diumumkan dalam PPSR ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) selain Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PPSR) untuk murid berkeperluan khas.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 November 2017 10:39 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: