Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PRABN kukuhkan sistem ramalan, amaran awal banjir

27 MAC: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem ramalan dan amaran awal banjir di dalam negara dengan meningkatkan tempoh masa amaran banjir sehingga dua hari awal.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, amaran banjir ini akan mensasarkan lebih daripada 3.4 juta orang penduduk yang terkesan dengan banjir dan ketika ini berada di fasa yang pertama.

“Hebahan maklumat amaran awal banjir ini akan dapat disampaikan kepada masyarakat termasuk agensi-agensi yang bertanggungjawab kepada bencana banjir khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi.

“Sistem ini merupakan satu langkah jangka masa panjang selain daripada dilaksanakan projek tebatan banjir sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, PRABN akan dilaksanakan di 40 lembangan sungai utama di seluruh negara dalam tiga fasa dengan anggaran kos RM550 juta.

Fasa pertama dilaksanakan pada tahun 2015 hingga 2017 dan fasa kedua akan dilaksanakan pada tahun 2018 hingga 2020 untuk 20 lembangan sungai.

Manakala fasa ketiga pula akan dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022 untuk lapan lembangan sungai.

“Fasa pertama akan melibatkan 3 sungai, fasa kedua 29 sungai dan fasa ketiga lapan sungai.

“Ketika ini semua negeri mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) walau bagaimanapun kerajaan pusat akan cuba menyeleraskan semua SOP ini bagi memudahkan sebarang tindakan di ambil,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 March 2018 11:03 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: