Kategori Berita Utama

PRK Kajang: 72 peratus keluar undi, keputusan penuh dijangka 8 malam

23 MAC: Semua 15 pusat mengundi membabitkan 84 saluran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang ditutup tepat jam 5 petang tadi dengan hanya 28,314 atau 72% daripada 39,278 pemilih berdaftar di DUN berkenaan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Jumlah itu bukan  sahaja merosot berbanding 88.4 peratus atau 34,920 pemilih yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada Mei tahun lalu, malah ia juga kurang daripada 80 peratus yang disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Abdul Aziz membuat pemeriksaan rambang pada peti undi di PRK Kajang.

Abdul Aziz membuat pemeriksaan rambang pada peti undi di PRK Kajang.

“Sehubungan itu, SPR akan membuat kajian mengenai jumlah peratusan yang menurut dan dilihat paling rendah berbanding PRK di Kedah (DUN Sungai Limau) dan Terengganu (DUN Kuala Besut),” katanya.

Abdul Aziz ditemui pada sidang media di Pusat Penjumlahan dan Pengumuman Keputusan PRK DUN Kajang di Stadium Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15, Bandar baru Bangi.

Ini kerana biasanya peratusan keluar mengundi pada sesuatu PRK adalah tinggi berbanding PRU, tetapi di PRK Kajang ia bukan sahaja merosot, malah angkanya adalah yang paling rendah pernah dicatat di DUN berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Abdul Aziz secara umumnya keseluruhan perjalanan PRK Kajang disifatkan baik dan berjalann lancar tanpa ada sebarang masalah serius  atau  kejadian tidak diingini.

Rabu lalu, seramai 1,050 atau 88.39 peratus daripada 1,197 pengundi awal tampil mengundi manakala 26 lagi pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

Pada PRK DUN Kajang hari ini, calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun, 50, berdepan dengan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62.

Bawa balik peti undi

LAGI…petugas SPR membawa balik peti undi ke Pusat Penjumlahan Undi di Kompleks Sukan MPKj Bandar Baru Bangi.

Setakat jam 7 petang ini, proses pengiraan undi masih berjalan dan difahamkan 53 daripada 88 peti undi (termasuk empat peti undi awal) sudah diikira.

SPR menjangkakan proses penjumlahan undi dapat diselesaikan lebih cepat dan keputusan rasmi juga dijanka diketahui lebih awal iaitu pada jam 8 malam ini.

Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lalu. 

Pada PRU-13 yang lalu, Lee Chin Cheh memperoleh 19,571 undi dan menang dengan majoriti sebanyak 6,824.

Calon BN, Lee Ban Seng menerima 12,747 undi, sementara Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi dan tiga calon Bebas lain mendapat kurang daripada 250 undi.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 March 2014 6:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: