Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Program MyPrihatin lesen bantu ringan beban B40

30 DIS: Langkah memperkenalkan program MyPrihatin dimana kadar bayaran yuran bagi membuat lesen lebih rendah dapat membantu golongan B40 khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Kebiasaannya yuran bagi mengambil lesen untuk seorang individu adalah antara RM400 hingga RM500 bergantung kepada sekolah memandu tersebut, bagaimanapun dengan program MyPrihatin yuran yang dikenakan hanya sekitar RM159 untuk setiap seorang.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malahan sudah menganjurkan sebanyak tiga kali di kawasan Parlimennya dan ia menerima maklum balas yang positif.

“Saya ucap terima kasih kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan Jalan Wilayah kerana telah mengadakan program MyPrihatin ini yang memberi kesempatan kepada kumpulan B40 untuk mendapat lesen secara sah dan murah,” kata beliau semasa ditemui media selepas majlis penutup program MyPrihatin JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Parlimen Setiawangsa di SMK Keramat Wangsa hari ini.

Ahmad Fauzi menerusi Pusat Khidmat Rakyat di kawasan Parlimennya juga menyumbang sebanyak RM100 kepada setiap peserta yang menyertai dimana peserta hanya perlu membayar RM59 untuk mendapatkan lesen yang sah dibawah program tersebut.

“Saya difahamkan kadar di luar RM500 ke 600, tapi dengan program ini mereka hanya membayar RM159 sahaja, yang itu pun RM100 daripada RM159 ditanggung oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat dimana mereka hanya membayar RM59 sahaja, cukup murah.

“Ini menunjukkan kerajaan cukup prihatin dengan golongan ini bagi mendapatkan lesen secara sah dan murah,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata pihak agensi mengambil inisiatif memperkenalkan program tersebut bagi mendekati rakyat secara terus dan mengurangkan kos untuk membuat lesen yang agak tinggi.

“Kita memberikan asas kemudahan memberi lesen B2 kepada masyarakat setempat khususnya yang berumur 16 ke 40 tahun, program ini dikenali sebagai MyPrihatin oleh JPJ, kita guna kerjasama dengan Institut Sekolah Memandu dan di sekolah-sekolah terpilih,” katanya.

Seramai 284 orang peserta berjaya mendapat lesen dalam program kali ini di kawasan Parlimen Setiawangsa.

Bagi peserta tertua yang berjaya mendapat lesen, Yahaya Awal 63, menerusi program tersebut amat menghargai jasa Kerajaan Persekutuan khususnya dan JPJ kerana dapat meringankan beban beliau yang telah tamat tempoh lesen sejak dua tahun lalu.

“Selepas tamat tempoh lesen dua tahun lalu saya tak boleh perbaharui lesen semula berdasarkan faktor umur. Tetapi menerusi program ini alhamdulillah syukur saya berjaya memperoleh lesen semula.

“Terima kasih kerana menganjurkan program ini, ia memudahkan saya untuk mendapat lesen tanpa perlu bersusah payah ke sekolah memandu dan pada masa sama kadar yuran juga adalah murah,” katanya semasa ditemui.

Pelaksanaan MyPrihatin diharapkan dapat memberi manfaat khususnya bagi golongan miskin bandar di seluruh kawasan Parlimen Setiawangsa serta kawasan parlimen yang lain.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 December 2017 5:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: