Kategori Analisa Isu Semasa

PROJEK TEROWONG: ADAKAH P.PINANG LANGGAR GARIS PANDUAN?

16 JULAI: Adakah Kerajaan Pulau Pinang melanggar garis panduan perolehan ketika menganugerahkan projek mega terowong kepada sebuah syarikat di mana pihak audit mengutarakan kebimbangan bahawa syarikat itu mempunyai modal berbayar 1,900 kali di bawah paras minimum sebagaimana keperluan JKR?

Pembinaan tiga lebuh raya di Pulau Pinang tertangguh selama 3 setengah tahun dari dijadualkan.

Malah kerajaan Pulau Pinang sudahpun membayar satu jumlah yang banyak iaitu RM220 juta sebagai fi perundingan kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi Terowong Pulau Pinang hanya untuk menyediakan laporan.

Kebimbangan ini tertumpu kepada kemampuan kewangan syarikat SPV berkenaan untuk menyempurnakan projek ini.

Pelantikan syarikat SPV ini diumumkan sebagai pemenang projek ini melalui proses Permohonan Untuk Cadangan (RFP) oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada 1 Mac 2013.

Selepas dianugerahkan projek itu, kerajaan Pulau Pinang turut mengeluarkan kenyataan pada 4 Mac 2013, menafikan syarikat SPV itu tidak mempunyai modal mencukupi untuk menyempurnakan sebuah projek mega dan mendakwa syarikat SPV itu memiliki modal berbayar secara kolektif berjumlah RM4.6 bilion.

Baki tunai negatif

Bagaimanapun, selepas disemak, syarikat SPV itu hanya diperbadankan pada 5 Julai 2012, atau 9 bulan sebelum dianugerahkan projek mega itu. Ketika dianugerahkan projek itu dan menandatanganinya pada Mac 2013, syarikat SPV itu hanya memiliki modal berbayar RM100,000.

Apa yang lebih membimbangkan, di akhir tahun kewangan syarikat itu pada Ogos 2013, syarikat SPV ini hanya mempunyai baki tunai sebanyak RM64,672 dan berada dalam keadaan negatif bagi nilai bersihnya sebanyak RM7.96 juta.

Laporan kewangan diaudit syarikat SPV itu turut menunjukkan pihak audit mereka memberi penekanan dan kebimbangan mereka terhadap ketidakpastian yang mungkin menimbulkan keraguan yang ketara terhadap kemampuan syarikat itu meneruskan operasi.

Setahun kemudian iaitu pada penghujung tahun kewangan Ogos 2014, atau selepas setahun dianugerahkan projek mega itu, syarikat SPV ini mengumpul baki tunai hanya RM672,130 dan masih merekodkan nilai bersih negatif.

(Nilai bersih menunjukkan baki jumlah wang yang dimiliki oleh pemilik perniagaan sekiranya semua aset dijual dan semua liabiliti dibayar pada tarikh kunci kira-kira. Nilai bersih diperolehi dengan “jumlah aset tolak jumlah liabiliti”. Maksudnya, nilai bersih ialah wang sendiri yang dilaburkan oleh pemilik dalam perniagaan tersebut, dan nilai itu dicatatkan sebagai liabiliti kerana ia merupakan tuntutan pemilik terhadap perniagaan tersebut).

Bagi tahun kewangan 2014, pihak audit syarikat itu masih lagi menyatakan kebimbangan terhadap kemampuan syarikat itu untuk meneruskan operasi.

19 bulan sebelum dapat projek

Menambahkan kebimbangan ialah syarikat induk kepada SPV ini yang memiliki 99 peratus saham dalam syarikat itu didapati hanya diperbadankan pada 22 Ogos 2011, iaitu kurang 19 bulan sebelum anak syarikatnya itu diumumkan mendapat projek mega ini.

Sehingga Ogos 2012, syarikat induk itu memiliki modal berbayar hanya RM300,000; baki tunai RM199,532 dan negatif pada rizab syarikat.

Pihak audit mereka turut melahirkan kebimbangan terhadap daya maju kewangan syarikat itu pada Ogos 2012, iaitu 7 bulan sebelum anak syarikat SPV dianugerahkan projek terowong pada Mac 2013.

Syarikat induk itu berterusan merekodkan kerugian pada dua tahun kewangan 2013 serta 2014 dan hanya memiliki baki tunai masing-masing berjumlah RM251,000 dan RM676,000. Pada 31 Ogos 2013, pegangan ekuiti bersih saham syarikat SPV itu menunjukkan negatif RM7.9 juta manakala syarikat induk merekodkan positif RM1.9 juta.

Dijumlah bersama, ekuiti pemegang saham bagi kedua-dua syarikat SPV dan syarikat induk itu mempunyai ekuiti negatif RM6 juta setakat 31 Ogos 2013, iaitu 5 bulan selepas projek mega itu dianugerahkan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Apabila melakukan penilaian kewangan bagi RFP, Jabatan Kerja Raya menetapkan pembida perlu menunjukkan kekukuhan kewangan sekurang-kurangnya 3 peratus dari nilai kontrak atau pembida terbabit akan gagal dalam penilaian standard JKR sekaligus tidak layak.

Siar minit mesyuarat

Merujuk kepada projek 3 lebuhraya dan Terowong Pulau Pinang yang menelan belanja RM6.34 bilion, jumlah 3 peratus itu adalah RM190.2 juta. Ini bermakna, modal berbayar syarikat SPV itu sebanyak RM100,000 ketika dianugerahkan projek itu adalah 190 kali ganda di bawah keperluan ditetapkan JKR.

Malah sehingga Jun 2017, iaitu empat tahun selepas dianugerahkan projek mega itu, modal berbayar syarikat SPV itu hanya RM17.5 juta manakala modal berbayar syarikat induk adalah RM15 juta sahaja.

Dan biarpun dijumlahkan bersama, ia masih di bawah RM190.2 juta yang ditetapkan serta tidak menepati apa yang didakwa Kerajaan Pulau Pinang pada 4 Mac 2013 bahawa syarikat berkenaan mempunyai modal berbayar sebanyak RM4.6 bilion.

Sehubungan itu, ini adalah satu kebimbangan yang serius apakah syarikat menerima projek ini mempunyai keupayaan kewangan atau mampu melepasi ujian kekukuhan kewangan untuk menyempurnakan projek mega itu ketika dianugerahkan pada Mac 2013.

BNSC menggesa Kerajaan Pulau Pinang untuk menyiarkan minit mesyuarat penilaian RFP dan kesemua dokumen berkaitan yang membawa kepada keputusan untuk menganugerahkan projek mega itu kepada syarikat SPV berkenaan pada Mac 2013.

Ia adalah bagi membuktikan Kerajaan Pulau Pinang tidak melanggar sebarang garis panduan perolehan ketika menganugerahkan projek mega itu kepada sebuah syarikat SPV dan syarikat induk baharu di mana pihak audit mereka sendiri turut melahirkan keraguan terhadap keupayaan kedua syarikat berkenaan, terutama pada baki tunai yang rendah dan modal berbayar yang rendah berbanding saiz projek yang diterima.

DATUK ERIC SEE-TO

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 16 July 2017 6:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]