Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PRU14: Wanita tiup semboyan perang habis-habisan

6 DIS: Wanita berikrar sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Uumum ke-14 (PRU14) akan bersama-sama dengan Pemuda, Puteri berganding bersama parti komponen Barisan Nasional bagi mencapai kemenangan besar.

Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika melaungkan ikrar tersebut turut menegaskan Jalinan Rakyat Plus (JRPlus) yang dilancarkan adalah rejimen jentera bersepadu pilihan raya paling utama.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abd Jalil bersemangat melaungkan ikrar perang PRU14 bersama perwakilan wanita yang hadir Perasmian Pergerakan Wanita UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC

“Dengan mereka yang berkongsi aspirasi Perdana Menteri kami akan jadi pencari undi, penentu undi, perayu undi, pengekal undi, hatta pemecah undi dimana yang perlu.

“Bak kata Abraham Lincoln, ‘a house divided by itself cannot stand’. Insya Allah selagi kita berdiri atas nawaitu yang satu demi agama, bangsa dan Negara UMNO terus kukuh mengemudi pertiwi,” katanya ketika berucap ucapan dasar Pergerakan Wanita pada Perhimpunan Agung UMNO 71 di PWTC hari ini.

Dalam pada itu Pergerakan Wanita UMNO menyifatkan Presiden, Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang pemimpin berjiwa besar apabila mengenepikan emosi dan fahaman politik semasa membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

Shahrizat berkata, Najib merupakan seorang pemimpin berjiwa besar yang tahu menggunakan budi bicara sama ada semasa melawan musuh dan menolong musuh.

“Satu perkara saya pasti semua rakyat mengakuinya. Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang berjiwa besar.

“Beliau tahu mengasingkan waktu bila musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang,” katanya.

Beliau kemudian memberikan contoh semasa bencana banjir besar di Pulau Pinang baru-baru ini dimana Najib bukan sahaja turun untuk bertemu rakyat di negeri tersebut malah mengumumkan peruntukan untuk mitigasi banjir bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.

Perwakilan wanita penuh semangat bersama-sama dengan ketuanya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC

“Datuk Seri Najib sendiri turun bersama isteri, meredah air banjir di Bukit Mertajam, merasai sendiri kesusahan rakyat di sana. Siap umum bakal peruntukkan projek bernilai RM1 bilion untuk mitigasi banjir di negeri pembangkang tersebut.

“Sebelum itu, pukul 3 pagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jawab panggilan Lim Guan Eng dan terus hantar bantuan. Datuk Seri Hisham (Hishammuddin Hussein) juga kerah beribu anggota pertahanan bantu segera selamatkan rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Shahrizat turut mempertikai kemampuan pemimpin pembangkang untuk mencontohi sikap yang ditonjolkan oleh pemimpin utama UMNO tersebut.

“Apa akan ada pemimpin-pemimpin seperti ini dalam DAP atau PKR atau PBBM? Pemimpin yang rela mengenepikan emosi, kemarahan dan kebencian. Menggantikan ia dengan bantuan dan pertolongan tanpa syarat?

“Didikan UMNO melahirkan pemimpin berjiwa besar. Selagi tali bersatu, bersetia, berkhidmat dipegang kejap pemimpin dan ahli UMNO, selagi itulah mereka akan terus berjiwa besar,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 December 2017 1:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: