Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Puteri UMNO muktamad senarai calon PRU-14

22 MEI: Puteri UMNO sudah bersedia dengan senarai calon dari kalangan ahli pergerakannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata senarai itu bakal diberi kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di semua negeri sebelum diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Semasa PRU-13, kita ada sembilan calon yang mendapat tempat sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi kita harapkan jumlah itu akan bertambah selepas PRU-14.

“Ini kerana kewujudan dan sumbangan golongan wanita muda dalam UMNO memang tidak dapat disangkal lagi. Jadi kita harapkan penghargaan kepada golongan wanita muda oleh pucuk pimpinan dapat diterjemahkan melalui pemilihan lebih banyak wanita muda sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Skuad Puteri Peduli Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahad.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menjelaskan bahawa lima daripada sembilan wakil Puteri UMNO yang memenangi kerusi pada pilihanraya lalu sudah beralih ke Pergerakan Wanita UMNO atas faktor usia.

Pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, Pergerakan Pemuda dan Puteri bersepakat mengusulkan formula 30 peratus calon muda, selain Puteri bersetuju dengan sasaran Pergerakan Wanita untuk meletakkan 30 peratus calon wanita pada PRU-14.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata Skuad Puteri Peduli merupakan satu usaha pergerakan itu memenangi hati masyarakat dan mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Skuad mempunyai tiga komponen iaitu Ziarah Puteri Peduli, S.A.F.E dan Gerak Kerja Berfokus bagi memastikan tugas membantu rakyat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan strategik.

Untuk permulaan gerak kerja Skuad Puteri Peduli, sebanyak 20,000 kit bantuan makanan bersempena Ramadan akan diedarkan di seluruh negara secara serentak bermula 3 Jun ini,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 May 2017 12:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: