Kategori Berita Antarabangsa

QZ8501 : Jenazah penumpang Sarawak dibawa pulang

11 FEB : Jenazah satu-satunya penumpang warga Malaysia dalam nahas pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia yang terhempas 28 Disember lalu dibawa pulang pagi tadi dan tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuching jam 2.23 petang.

Jasad mendiang dijangka disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Seniawan, Bau, jam 9 pagi esok.

Sebelum itu, jenazah mendiang Sii Chung Huei diterbangkan dengan pesawat C-130 penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Landasan Udara Angkatan Laut (LANUDAL) Tentera Nasional Indonesia di Juanda jam 10.40 pagi tadi

mayat siiTurut menaiki pesawat ialah isteri Sii, Wong Muk Ngiik bersama dua anaknya serta beberapa anggota keluarga lain termasuk seorang pegawai dari Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata mayat Sii ditemui 5 Februari lalu dan dikenal pasti menerusi ujian DNA dua hari lepas sebelum diserahkan kepada warisnya semalam.

Wong datang semula ke Surabaya pada 6 Februari sebaik mendapat tahu pihak berkuasa Indonesia telah menemui beberapa lagi mayat.

Sebelum itu, Wong dan beberapa anggota keluarganya berada di Surabaya selama lebih sebulan sejak kemalangan itu untuk menunggu pencarian mayat suaminya.

“Kami berterima kasih kepada TUDM dan AirAsia yang telah banyak membantu bagi memudahkan kerja-kerja menguruskan dan menyerahkan jenazah kepada waris Sii serta membawa mayat dan waris ke Kuching di Sarawak,” kata Zahrain.

Sii, 56, seorang ahli perniagaan dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat malang yang membawa 162 orang dan terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura 28 Disember lalu.

Sehingga kini, 102 mayat telah ditemui dan operasi mencari mayat masih diteruskan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 February 2015 3:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: