Kategori Berita Utama

Rafizi kantoi lagi, kali ini fitnah tentang syarikat pelobi AS

31 MEI: Rafizi Ramli sekali lagi kantoi dalam membuat fitnah terhadap sebuah syarikat yang kononnya mempunyai hubungan sebagai pelobi Amerika Syarikat yang dibayar untuk bertindak bagi pihak Putrajaya.

Pemilik syarikat CRT Insight Technologies Sdn Bhd, Goh Siew Boey mendakwa semua tuduhan Rafizi terhadapnya tidak berasas memandangkan alamat syarikatnya berbeza dengan dakwaan tersebut.

Menurutnya yang mesra dipanggil Florence Goh, tuduhan Rafizi itu adalah sangat cuai sehinggakan dirinya serta syarikat beliau telah menjadi mangsa fitnah.

Tegasnya Rafizi perlu membuat siasatan dan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum sewenang-wenangnya membuat tuduhan tidak berasas ini.

“Beliau hanya membuat carian menerusi online di internet dan terjumpa syarikat saya. Sepatutnya beliau buat carian lebih terperinci atau double check dengan pergi terus ke pejabat SSM. Dapatkan pengesahan dahulu dari SSM.

“Rafizi telah tersalah orang. Saya adalah Florence Goh tetapi bukan yang dimaksudkan oleh Rafizi. Syarikat saya beroperasi di no 42, Jalan Molek 2/1.

“Alamat syarikat yang didedahkan oleh Rafizi hasil carian online di SSM ialah 42, Jalan Molek 2/3,” katanya dalam satu sidang media khas yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Putrajaya pada Rabu.

Menurut Florence, beliau juga telah bertindak sendiri pergi ke pejabat SSM untuk membuat semakan sekaligus membuktikan bahawa dakwaan Rafizi itu tidak tepat.

Setelah disemak, maklumat terperinci yang dikeluarkan SSM menunjukkan syarikat yang beralamat 42, Jalan Molek 2/3 adalah Alliance Map Sdn Bhd dan pemiliknya bernama Florence Goh atau Goh Swee Gaik.

“Saya tidak tahu menahu tentang Florence Goh lagi satu itu,” tegasnya dan menyedari nama dan syarikatnya dikaitkan dengan tuduhan tersebut selepas dihubungi melalui emel seorang wartawan sebuah laman portal meminta beliau memberikan respon.

Justeru itu, beliau telah membuat laporan polis agar siasatan lebih lanjut dapat dijalankan.

Susulan daripada email tersebut, Florence Goh cuba menghubungi Rafizi menerusi laman facebook, dan pejabat Rafizi, tetapi kecewa kerana ia langsung tidak berjawab dan mendapat balasan daripada ahli Parlimen Pandan itu.

“Saya cuba menghubungi beliau bagi menjelaskan hal sebenar, tapi malangnya saya gagal menghubungi beliau kerana panggilan telefon saya tidak pernah dijawab,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau mendesak nama dan syarikatnya dibersihkan daripada semua tuduhan dan fitnah kerana telah menjejaskan nama baik dan maruah diri dan syarikat beliau.

“Saya bukan orangnya dan saya tidak terbabit dengan apa yang beliau dakwa.

“Saya hanyalah profesional trainer dan menjalankan perniagaan berkaitan IT,” katanya lagi.

Florence Goh turut meminta bekas Setiausaha Agung PKR itu segera tampil dan membuat kenyataan awam membersihkan nama dan syarikatnya atau bersedia berdepan tindakan undang-undang.

Tuduhan dan fitnah terbaru Rafizi ialah mendakwa kononnya terdapatnya syarikat yang dibayar oleh Kerajaan Malaysia untuk melobi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Sebelum ini Rafizi turut menuduh Ahli Parlimen Johor Bharu Tan Sri Shahrir Samad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenali individu di sebalik penggunaan pelobi berkenaan.

Individu itu dikatakan mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor Bahru.

Kata Rafizi, individu berkenaan adalah orang yang sama menandatangani perjanjian sebagai pengarah syarikat Godfrey Group Ltd – yang menurut dokumen dikemukakan Jabatan Keadilan AS – mengupah firma 45 Group dan ketua pegawai eksekutifnya, Healy Baumgardner-Nardone sebagai pelobi untuk kerajaan Malaysia.

Undang-undang AS memerlukan mana-mana pelobi yang bertindak bagi pihak kepentingan asing supaya berdaftar dengan DOJ mengikut Akta Pendaftaran Ejen Asing (Fara). Tindakan itu membolehkan orang awam meneliti semua dokumen yang berkaitan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 May 2017 2:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: