Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rafizi mohon maaf di Parlimen

14 MAC: Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli mengesahkan dirinya tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menyatakan perkara itu ketika memulakan perbahasan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“Ini adalah ucapan saya yang terakhir dalam dewan ini Yang Dipertua, memandangkan saya tidak akan bertanding dalam PRU akan datang.

“Saya meminta maaf sekiranya kritikan pedas saya selama lima tahun yang lepas di dalam dewan mulia ini melukakan hati pihak sebelah sana (kerajaan),” katanya.

Beliau turut berkata hubungan dengan beberapa pemimpin BN yang dilihat tegang ketika membahaskan beberapa isu, sebenarnya dalam keadaan yang baik.

Antara pemimpin BN tersebut, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd Sadique.

“Saya ingin minta maaf sekiranya kririkan saya pedas kepada kerajaan sejak 5 tahun lepas dalam dewan ada melukakan hati ahli dewan sebelah sana, saya tidak pernah rasa benci dengan sahabat saya di sebelah sana.

“Ahli Parliman Kinabatangan tak ada, Lenggong tak ada, Tenggara, Walaupun Tanjung Karang kadang-kadang kritik saya dengan keras, sebenarnya kita baik di luar, ” ujarnya.

Keputusan Rafizi itu, dipercayai dibuat selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadapnya, kerana didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

Selain Rafizi, seorang bekas kerani bank Johari Mohamad, juga didapati bersalah atas kesalahan yang sama.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR dalam bahas tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen BN yang disifatkan sangat terbuka ketika berhujah dengannya.

Beliau terdahulu menerusi Twitternya mengesahkan tidak akan bertanding PRU kali ini.

Di akhir perbahasan Rafizi ada menyebut setiap perbuatan pemimpin kerajaan termasuk beliau akan diadili di dunia dan di akhirat.

Kenyataan itu mungkin untuk menunjukkan kononnya kerajaan banyak membuat silap terhadap rakyat sedangkan hakikatnya rakyat tahu Ahli Parlimen PKR Pandan itulah sering melontarkan fitnah kepada pemimpin kerajaan sehingga diheret ke mahkamah untuk pendakwaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 March 2018 4:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: