Kategori Berita Utama

Rahman Dahlan gesa PM segerakan pembentukan kabinet

16 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa membentuk barisan Kabinet secepat mungkin supaya pentadbiran negara boleh terus bergerak seperti biasa.

Ahli Unit Komunikasi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata ia susulan rakyat dalam keadaan resah dan gelisah menunggu barisan Kabinet meskipun sudah seminggu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selesai.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu turut mendakwa banyak pengumuman dasar dan hala tuju kerajaan diumumkan oleh individu yang bukan menteri dan bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan.

“Hal ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian.

“Oleh itu  proses pelantikan menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja.

“Pelantikan yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibat negara kita hilang integriti dan tidak dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahman memberi contoh pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan sehingga mendapat reaksi negatif daripada rakyat.

Beliau berkata, Dr Mahathir mengetahui bahawa Guan Eng kini berdepan pertuduhan rasuah dan akan menjalani perbicaraan mahkamah, maka tidak hairanlah Perdana Menteri bakal membuat ‘pusingan U’ mengenai pelantikan Menteri Kewangan selepas ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dengan baik serta perlu memenuhi segala janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari.

“Ini termasuk memberi autonomi segera kepada Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15 peratus royalti minyak kepada dua negeri berkenaan termasuk Kelantan dan Terengganu.

“Justeru, kami ucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan PH dan berharap mereka bekerja keras untuk memakmurkan negara serta menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 May 2018 3:35 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: