Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rahman Dahlan: Pembangkang berbohong, pecah-belah rakyat

25 MAC: Tindakan pembangkang terutama DAP melakukan pembohongan berterusan kepada rakyat bukan sahaja memudaratkan kepimpinan dan imej negara di peringkat antarabangsa malah kehidupan masyarakat, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau menyifatkan tindakan yang mendakwa kerajaan menjual negara kepada China dan Arab Saudi jelas merupakan satu pembohongan besar.

“Martabat kita (Malaysia) tinggi. Jadi, jangan terpengaruh dengan kata-kata pembangkang kerana Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu pun memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur.

“Pembangkang kata kerajaan jual negara tetapi mereka lupa China adalah negara kaya yang mampu melabur berbilion ringgit di negara ini,” katanya pada “Ceramah Rakyat Negaraku Generasiku P. 150 Batu Pahat” di Dataran Kompleks Niaga Senggarang, Jumaat.

Turut hadir adalah Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong, Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan, Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr S.Sivakumar dan Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Samsol Bari Jamali.

Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjelaskan bahawa pelaburan sejumlah RM144 bilion oleh China dan terbaru, pelaburan RM31 bilion oleh Arab Saudi menerusi Saudi Aramco di Pengerang menjadi bukti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih dihormati masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, pelaburan di Pengerang bakal menjana 8,000 pekerjaan yang akan menjamin masa depan golongan muda negara ini.

“Ini sebenarnya pelaburan untuk rakyat Johor yang dikhianati pembangkang khususnya DAP dan PPBM.

“Ini tentang masa depan anak-anak kita, tetapi apabila pembangkang  menidakkan pelaburan ini, maka, kita akan lawan habis-habisan,” katanya yang melabelkan politik pembangkang sebagai politik kotor yang bertujuan memecah-belahkan rakyat.

Sementara itu, Abdul Rahman mencadangkan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewujudkan satu undang-undang supaya mereka yang melakukan fitnah berkaitan ekonomi negara dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Puak-puak yang mengeluarkan kenyataan yang memudaratkan (negara dan rakyat) merupakan satu ancaman… kena anggap mereka yang membuat tuduhan berkaitan ekonomi, orang itu adalah musuh keselamatan negara,” katanya.

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 25 March 2017 11:21 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]