Kategori Berita Utama

Rahman tepis dakwaan pemilik Mydin

7 FEB: Jualan runcit pasaraya besar di negara ini yang didakwa menguncup hanya merangkumi lapan peratus daripada keseluruhan jualan keseluruhan dan tidak boleh dijadikan penanda aras gambaran sebenar ekonomi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata jualan runcit secara keseluruhan masih merekodkan pertumbuhan kukuh yang berkembang sebanyak 7.8 peratus, 11.5 dan 10.4 peratus pada suku pertama, kedua dan ketiga tahun lalu.

“Malah sepanjang 11 bulan pertama tahun lalu, jualan runcit mencatatkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus kepada RM410.5 bilion ringgit berbanding RM367.7 bilion tempoh sama pada tahun 2016.

“Jumlah kedai-kedai tidak khusus yang turut merangkumi pasaraya besar juga meningkat kepada 73,848 pada tahun lalu berbanding 66,920 unit sebelumnya.

“Ini mungkin menjadi alasan mengapa sesetengah premis berkenaan mengalami kemerosotan jualan kerana pelanggan kini mempunyai  banyak pilihan untuk membeli-belah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Belud itu mengulas temubual Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin dengan sebuah radio tempatan berkenaan jualan di pasar raya besar mengalami kemerosotan.

Ameer (foto) mendakwa rakyat Malaysia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit walaupun pertumbuhan ekonomi negara mapan.

“Suku pertama, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 5.6 peratus manakala jualan runcit menyusut sebanyak 1.2 peratus dan jualan pasaraya besar menguncup sebanyak 4.8 peratus,” katanya dalam wawancara berkenaan.

Bagaimanapun, Rahman menegaskan bahawa prestasi ekonomi dan keadaan negara serta rakyat tidak boleh diukur dengan menggunakan satu sub-sektor sahaja.

“Namun apabila KDNK berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan akan dibuka, pendapatan isi rumah akan meningkat dan rakyat memiliki lebih banyak wang untuk dibelanjakan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 February 2018 9:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: