Kategori Berita Utama

Raja dan UMNO berpisah tiada, jangan hina lambang kemasyuran Melayu

9 DIS: Institusi raja adalah lambang kepada kemasyuran orang Melayu sebagai peribumi di tanahair sendiri.

Justeru itu menurut Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussain, UMNO bertekad bermati-matian mempertahankan Institusi Raja di negara ini daripada terus diperkotak-katikkan oleh pembangkang yang semakin menjadi-jadi sejak mutakhir ini.

“Raja dan rakyat berpisah tiada, tapi saya nak sebutkan raja dan UMNO berpisah tiada,” katanya pada ucapan pergulungan sebagai Naib Presiden parti keramat melayu itu di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, di PWTC pada Sabtu.

Sejurus itu Dewan Merdeka terus gamat dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Katanya, Institusi Raja adalah lambang kepada sistem demokrasi raja berpelembagaan di negara ini yang sepatutnya ditaati oleh setiap rakyat pelbagai kaum selari apa yang terkandung dalam prinsip Rukunegara.

“Saya ingin menarik perhatian para perwakilan kepada kebiadaban pembangkang yang menghina Institusi BerRaja yang semakin menjadi-jadi.

“Mereka heret rakyat jelata untuk tidak lagi menghormati Raja-Raja yang menjadi lambang demokrasi raja berperlembagaan di negara ini.

Mereka tolak prinsip taat setia kepada Raja seperti di sebut dalam Rukun Negara,” katanya.

Tegas Hishammuddin lagi, UMNO tidak sanggup membiarkan air mata raja kita dan orang Melayu mengalir sekali lagi seperti mana yang pernah berlaku ketika parti itu mengetuai orang Melayu menentang gagasan Malayan Union pada tahun 1946.

“Jika pada tahun 1946, air mata Tuanku (Sultan dan Raja Melayu) mengalir ketika UMNO menentang ‘Malayan Union’, hari ini, kita orang-orang UMNO yang berhimpun di Dewan Merdeka sekali lagi berjanji, akan terus mempertahankan Institusi Raja di negara ini.

“Tidak akan izinkan air mata Tuanku mengalir lagi!” kata beliau penuh semangat dan mendapat tepukan gemuruh hadirin di Dewan Merdeka.

Lantaran itu, Hishammuddin menyeru ahli UMNO untuk memastikan parti itu mendapat mandat sekali lagi dengan mencipta kemenangan pada PRU ke-14 nanti demi meneruskan agenda mempertahankan martabat agama, bangsa dan tanahair.

“Pilihan raya pasti tiba. Kita memerlukan sokongan rakyat. Kita perlu berada di landasan yang tepat untuk mendapatkan mandat besar rakyat.

“Mandat untuk meneruskan usaha membawa kesejahteraan rakyat dan negara. Sebagaimana pelbagai agenda pembangunan yang dikupas oleh para jurucakap, dari MRT sehingga TN50, saya yakin dan saya tahu, Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai lebih banyak agenda dan hala tuju untuk membina tamadun dan masa depan negara yang jauh lebih baik,” jelasnya.

Perwakilan PAU 2017 diseru untuk menyatukan iltizan dan membulatkan tekad untuk menawan kubu-kubu musuh pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Hishammuddin berkata, matlamat UMNO perlu menang dalam perang PRU-14.

“Marilah kita satukan iltizam dan bulatkan tekad, Boleh? Boleh kita gempur dan tawan kubu-kubu musuh? Kita serang mereka! Boleh? Kita ranapkan Pakatan Harapan DAP!

“Bangun dan bangkitlah tuan-tuan dan puan-puan orang UMNO! Bersatulah seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Kukuhkan solidariti, rapatkan barisan, eratkan perpaduan,” kata Hishammuddin.

“Namun semuanya akan bergantung kepada sokongan rakyat di peti undi. Matlamat kita adalah kemenangan. Kita mesti berada dalam kaedah pilihan raya. Laksanakan arahan kepimpinan!

“Bangun dan bangkit lah tuan-tuan dan puan-puan orang UMNO! Bersatulah seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Kukuhkan solidariti, rapatkan barisan, eratkan perpaduan,” katanya penuh semangat.

Sejurus itu Dewan Merdeka sekali lagi bergema dengan sorakan Hidup UMNO sebanyak tiga kali.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 December 2017 5:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: