Kategori Berita GSTBerita Utama

Rakyat jangan khuatir GST mulai April 2015

Rakyat tidak perlu takut atau khuatir pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana model cukai yang digunapakai tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas.

Bahkan, bekalan air paip, 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik, perkhidmatan pengangkutan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan juga tidak dikenakan GST.

gst2 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata GST akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015 dengan kadar yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

“Kadar GST ini merupakan yang terendah dikalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus,” katanya.

Menurut Najib, GST dilaksanakan setelah kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga.

Jelasnya, GST merupakan gantian kepada dua cukai yang akan dimansuhkan iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan bukanlah cukai tambahan baru.

“Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.

“Dengan pelaksanaan GST, kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat, Jumaat.

Dalam usaha untuk mengurangkan bebanan rakyat, selaku kerajaan yang bertanggungjawab, pelbagai bantuan sokongan semasa peringkat peralihan seperti bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah BR1M akan diberikan, kata Najib.

Selain itu, tambah Najib kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan manakala struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga mahir dalam negara.

“Bagi mempastikan struktur cukai lebih progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100ribu kepada melebihi RM 400 ribu.

pmbajet2014b

Najib ditemani Tan Sri Muhyyidin Yassin, Datuk Seri Husni Hanadzlah dan Datuk Ahmad Maslan menunjukkan Buku Bajet 2014. Foto HILMI JAAFAR.

“Kadar cukai maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus. Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015,” katanya.

Menurut Najib, selain daripada rakyat, syarikat perniagaan juga turut akan dibantu untuk memastikan pelaksanaan GST berjalan dengan lancar.

Selain itu, jelas Najib bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan dianggotai oleh agensi Kerajaan, wakil industri dan NGO.

Najib turut menyuarakan rasa kecewa beliau apabila sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST.

“Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya, semua harga barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban,” ujarnya.

“Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan. -25/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 October 2013 6:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: