Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rakyat Malaysia bayar RM6.8 bilion beli telefon pintar

6 JULAI: Walaupun ramai mengeluh kelembapan ekonomi Malaysia, satu kajian penyelidikan pemasaran oleh syarikat GfK mendapati penduduk negara ini membelanjakan kira-kira RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar pada tahun lepas.

Pengarah Urusan GfK Asia Tenggara, Stanley Kee dalam satu kenyataan mendedahkan terminal Jualan GfK menunjukkan peningkatan jualan ketara daripada RM5.4 bilion pada 2015, dengan kenaikan terbesar disumbangkan oleh model telefon pintar pertengahan yang berharga antara RM900 ke RM1,050.

Menurutnya, rekod itu dibuat bermula Mac 2016 hingga Februari 2017.

“Telefon pintar berjenama dari China merupakan pemacu utama kepada peningkatan permintaan peranti mudah alih tahun lepas, yang mana juga mencatatkan jumlah tertinggi jenama telefon pintar baharu memasuki pasaran.

“Dengan peningkatan rangkaian mudah alih baru-baru ini, pengguna di negara ini sering menggunakan telefon pintar mereka bagi aktiviti seperti membeli-belah dalam talian, media sosial dan pencarian umum dalam internet,” katanya hari ini.

Terminal jualan GfK juga menunjukkan 37 peratus telefon pintar yang dijual di seluruh negara semasa tempoh itu mempunyai skrin bersaiz sekitar 5.01 hingga 5.6 inci, berbanding 21 peratus pada tahun sebelumnya, menjadikan peningkatan saiz skrin sebagai segmen terpantas dalam masa 12 bulan.

Tambah beliau, aplikasi membeli-belah juga semakin popular serta turut membuka laluan kepada pembayaran mudah alih.

“Lebih ramai pengguna hari ini menyumbang kepada peningkatan dagangan mudah alih (m-dagang) di Malaysia, membuat bayaran menerusi peranti mudah alih untuk membeli barangan runcit, tiket penerbangan dan perkhidmatan seperti Grab dan Uber,” katanya.

Pada tahun lalu, kajian pengguna Pemantau Pembeli Elektronik syarikat berpangkalan di Jerman itu bagi rantau Asia Pasifik menunjukkan kebanyakan responden Malaysia menentukan harga dan jenama sebagai faktor utama dalam pembelian telefon pintar.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 July 2017 3:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: