Kategori Berita Utama

Rakyat Myanmar pemegang kad UNHCR pemilik pub ditahan

2 MAC: Operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan termasuk guna lesen rakyat tempatan yang bermula Ahad malam menahan 159 PATI termasuk seorang pemilik pub warga Myanmar.

Warga Myanmar yang ditahan itu memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Dalam operasi dua jam bermula kira-kira 7 malam semalam, pihak berkuasa menahan 81 warga Myanmar diikuti warga Bangladesh (52), Nepal (28), Indonesia (15), India (4), Pakistan (3), masing-masing dua orang warga Sri Lanka, Palestin dan Filipina serta Vietnam (1).

Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 500 warga asing telah diperiksa dalam operasi fasa kedua itu, dan daripada jumlah itu, sebanyak 190 termasuk 17 wanita didapati tidak mempunyai dokumen sah dan berniaga di premis milik warga tempatan.

“Kita turut menahan tiga majikan iaitu dua wanita tempatan yang mempunyai premis perniagaan (yang menggajikan PATI,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas operasi itu dilakukan di restoran, gerai, kedai menjual peralatan telefon bimbit dan kedai ubat di sekitar Jalan Silang di Kuala Lumpur.

Operasi hari pertama itu melibatkan 195 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid berkata operasi fasa kedua memberi tumpuan terhadap PATI yang menjalankan perniagaan atau digajikan untuk menjaga premis perniagaan serta majikan yang menggaji PATI.

“Tahap (fasa) pertama sebelum ini melibatkan 915 lokasi operasi dengan tangkapan 6,293 PATI dan majikan seramai 69 orang. Daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak 6,116 PATI telah diusir,” katanya.

Menurutnya operasi kedua itu akan diteruskan di seluruh negara dengan lokasi tumpuan ialah premis perniagaan seperti gerai dan restoran.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan lesen perniagaan tempatan diusahakan sendiri dan tidak disalah guna dalam usaha mengekang aktiviti perniagaan melibatkan warga asing, yang semakin berleluasa.

“Memang penguatkuasaan di bawah KDN dan Jabatan Imigresen tetapi kelulusan lesen adalah di bawah PBT. PBT perlu bekerjasama dengan KDN untuk membanteras salah guna lesen dalam kalangan majikan tempatan yang menggunakan PATI untuk berniaga,” kata Ahmad Zahid.

Beliau juga berkata operasi penguatkuasaan bersepadu 6P Fasa 3 pula akan dilakukan dengan tumpuan khusus di pusat hiburan, rumah urut dan spa.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 March 2014 12:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: