Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ramadan diharap dapat memupuk sifat muhasabah, murah hati

26 MEI: Datuk Seri Najib Razak mengucap selamat menyambut Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam telah pun tiba dan kedatangan Ramadan memang cukup bermakna untuk umat Islam tidak kira di Malaysia mahupun di serata dunia.

Katanya, dalam bulan inilah diturunkan kitab suci al-Quran sebagai bimbingan serta panduan buat umat Islam.

“Sepanjang 30 hari, kita semua menggandakan amal ibadat dengan berpuasa, menunaikan solat terawih, mempamerkan kesabaran dan istiqamah serta memupuk sifat muhasabah dan kemurahan hati.

“Di Malaysia, Ramadan bukan sahaja disambut oleh umat Islam. Kemeriahan berbuka puasa bersama-sama telah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat Malaysia.

“Setiap hari, ukhuwah sesama kita dirapatkan lagi dengan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat perpaduan. Sikap hormat-menghormati sesama rakyat Malaysia terhadap amalan keagamaan atau budaya orang lain tetap menjadi kebanggaan kita di serata dunia,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Najib berharap Ramadan tahun ini mengangkat lagi tahap ketakwaan umat Islam sebagaimana difirmankan oleh Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat terdahulu agar kamu bertakwa”.

“Semoga negara akan sentiasa dirahmati, mendapat barakah dan maghfirah yang dijanjikan Allah di bulan ini.

“Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada anda dan keluarga,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 May 2017 9:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: