Kategori Analisa Isu Semasa

RANG UNDANG-UNDANG DADAH BERBAHAYA (PINDAAN) 2017

30 NOV: “Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan iaitu bahawa Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dibacakan kali yang kedua sekarang.”

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Anak tetak ibu dengan gergaji dan pukul bapa, bunuh ibu kandung, samun dan tetak kaki nenek – ini adalah antara kes-kes benar yang dilaporkan berlaku akibat penagihan DADAH. Dadah bukan satu isu baharu di Malaysia, malah telah lama bertapak di negara ini dan tiada titik noktahnya sehingga hari ini, biarpun pelbagai usaha dan langkah-langkah proaktif telah diambil kerajaan untuk membanterasnya.

 

  1. Wabak dadah bukan sahaja merupakan satu gejala sosial, tetapi telah bertukar menjadi satu bahana yang mengancam dan menggugat negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosiobudaya, politik serta keselamatan dan ketahanan nasional pada keseluruhannya, apatah lagi ia boleh menimpa sesiapa sahaja, merentas status, latar belakang, gender mahupun umur.

 

  1. Kerajaan pada setiap masa merangka pelbagai strategi, inisiatif dan program selaras dengan Dasar Dadah Negara dalam memerangi musuh Nombor Satu Negara ini dari semakin merebak. Dasar Dadah Negara tersebut menjadi tonggak dalam usaha mencegah, merawat dan memulih penagih serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan dadah secara holistik dan progresif untuk mengurangkan penawaran dan permintaan (supply and demand) terhadap dadah di Malaysia.

 

  1. Pelbagai langkah-langkah yang drastik diambil oleh Kerajaan, namun begitu statistik Polis Diraja Malaysia tetap menunjukkan peningkatan kes pada setiap tahun. Dari Januari 2014 sehingga Oktober 2017, seramai 702,319 individu ditahan polis atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah.  21,731 individu ditangkap di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Disemak 1980) [Akta 234].

 

  1. Seterusnya, sebanyak 13,036 kertas siasatan telah dibuka dan sebanyak 10,878 kes telah dituduh di Mahkamah dalam masa yang sama. Lebih membimbangkan adalah, sebanyak 1,743 tangkapan melibatkan penuntut sekolah dan sebanyak 1,953 tangkapan melibatkan penuntut Institusi Pengajian Tinggi di bawah Akta 234 dari Januari 2014 sehingga Oktober 2017.

 

  1. Pada masa yang sama, sebanyak 68 Kingpin telah ditangkap dalam tempoh tersebut. Lebih parah lagi sebanyak 106 makmal haram memproses dadah yang beroperasi secara aktif telah diserbu oleh pihak berkuasa dengan tangkapan mereka yang mengendalikan makmal itu seramai 409

 

  1. Perangkaan ini amatlah membimbangkan kerana walaupun dengan adanya hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta 234, jumlah kes di bawah seksyen tersebut masih mencatatkan jumlah yang tinggi.

 

  1. Tambahan lagi, perkembangan teknologi dan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu khususnya dalam bidang sains kimia telah membawa kepada pelbagai ciptaan dadah-dadah sintetik (designer drugs) yang baharu seperti synthetic cathinones, synthetic cannabinoid, piperazines, tryptamines dan lain-lain lagi.

 

  1. Dari Januari 2014 sehingga Oktober 2017, PDRM telah menyita dadah heroin bernilai RM2 juta , dadah ganja bernilai hampir RM6 juta , dadah kristal syabu bernilai lebih RM3 juta , dadah ketamin bernilai lebih RM1 juta , dadah pil ermin 5 bernilai  lebih RM7 juta dan dadah pil ekstasi bernilai hampir RM1 juta.

 

  1. Selain itu, Kerajaan juga berhadapan dengan tokan-tokan dadah yang menggunakan pelbagai modus operandi atau teknik untuk menyeludup dadah termasuk mempergunakan “keldai-keldai” dadah untuk mengedar dadah di dalam dan luar negeri. Saban hari di dada akhbar memaparkan berita-berita mengenai modus operandi termasuk jenis-jenis dadah yang diseludup masuk ke negara kita. Antara contoh kes adalah, seorang warganegara Peru, telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Setelah didapati telah menelan 141 pelet dadah jenis cocaine seberat 790.6 gram ke dalam ususnya bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Manakala dalam satu lagi kes, seorang tertuduh secara terang-terangan melekatkan lapan paket plastik lutsinar yang mengandungi 7,468 tablet dadah jenis methylene dioxy metham phetamine di bahagian perutnya. Keldai dadah yang datang ke negara ini juga, ada kalanya tidak mengambil bagasi selepas mendarat di KLIA sebaliknya akan menghubungi pihak lapangan terbang untuk menghantar bagasi mereka ke hotel yang disewa mereka. Ini adalah hanya contoh beberapa jenis modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam negara.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

  1. Dalam kes Tan Boon Liat v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & Ors, Hakim Abdoolcader menyatakan sebagaimana yang berikut:

 

Dengan izinTrafficking in drugs is a crime which also affects public health and public safety and can indeed be the spawn or nidus of crimes that ultimately result in violence or at least have shattering effect on public tranquillity and society generally.”

 

  1. Pada tahun 1952, Ordinan Dadah Berbahaya 1952 dilahirkan sebagai satu Ordinan yang tunggal bagi kesemua negeri di Tanah Melayu untuk mengawal kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan dadah di Tanah Melayu pada masa itu. Pengwujudan Ordinan ini adalah bukti bahawa dadah merupakan ancaman kepada Tanah Melayu dan telah membanjiri negara kita sejak tahun 50-an lagi ketika kita masih dalam jajahan British.

 

  1. Undang-undang itu bertujuan untuk mengawal pengimportan, pengeksportan, penghasilan, penjualan, penggunaan dan pemilikan opium dan dadah berbahaya dan bertujuan untuk mengadakan peruntukan khas berkaitan bidang kuasa mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta 234 serta apa-apa maksud yang berkaitan dengannya.

 

  1. Pada 30 April 1975, peruntukan asal seksyen 39B mula dimasukkan ke dalam Akta 234 melalui Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1975 [Akta A293]. Tujuan Akta A293 dibuat, antara lain, adalah untuk menangani peningkatan aktiviti pengedaran dan perdagangan dadah berbahaya dengan memperkenalkan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup dan sebatan untuk jenayah tersebut memandangkan hukuman yang diperuntukkan dalam Akta 234 sebelum ini didapati tidak berkesan. Perkara ini telah dinyatakan dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 8 April 1975 yang mana Yang Berhormat Tan Sri Abdul Kadir Yusof, Menteri Undang-Undang merangkap Peguam Negara pada masa itu, telah menyatakan seperti berikut:

 

“Rang Undang-undang ini juga bertujuan mengadakan peruntukan bagi kesalahan memperdagangkan dadah membahaya dan penalti baginya adalah hukuman bunuh atau penjara seumur hidup disertakan dengan sebat dengan rotan. Hukuman seperti ini nampaknya patut memandangkan kepada bertambahnya bilangan kes perdagangan dadah.

 

…Memandangkan kepada gejala tempatan dan antarabangsa sekarang ini dan hal penyalahgunaan dadah, penalti-penalti atau hukuman yang diperuntukan dalam Ordinan Dadah Berbahaya 1952 telah didapati tidak mencukupi…”.

 

  1. Walau bagaimanapun, pada tahun 1983, seksyen 39B telah dipinda melalui Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1983 [Akta A553] untuk memperuntukkan hukuman mati sebagai satu-satunya hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen ini. Hal ini disebabkan berlakunya ketidakselarasan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah untuk jenayah pengedaran dadah di bawah seksyen 39B Akta 234 yang diperkenalkan pada tahun 1975. Perkara ini telah dinyatakan oleh YAB Dato’ Musa Hitam (Mantan Timbalan Perdana Menteri) dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 24 Mac 1983  seperti yang berikut:

 

“…Sejak hukuman ini dimaktubkan di dalam undang-undang pada tahun 1975, didapati tidak ada keseragaman di dalam penghukuman terhadap pengedar dadah...Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini dan memandangkan bahawa aktiviti pengedaran dadah makin bertambah serta hukuman yang terdapat sekarang tidak memadai untuk menjadi pencegah, adalah dicadangkan supaya satu hukuman sahaja ditetapkan bagi pengedar dadah, iaitu hukuman mati.”.

 

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kajian terhadap pendekatan mahkamah (judicial approach) dalam beberapa kes yang dilaporkan antara tahun 1975 hingga 1983 (sebelum pindaan) mendapati bahawa mahkamah tidak konsisten dalam menghukum pesalah di bawah seksyen 39B Akta 234. Dalam kes Loh Hock Seng & Anor v Public Prosecutor [1980] 2 MLJ 13, perayu kedua telah disabitkan atas tuduhan mengedar 1550.1 gram heroin dan perayu kedua dihukum penjara seumur hidup dan 14 sebatan sebat. Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan Pendakwa Raya terhadap hukuman yang dikenakan kepada perayu kedua dengan mengetepikan tempoh penjara seumur hidup dan sebat yang dikenakan ke atasnya dan menggantikannya dengan hukuman mati. Dalam menyampaikan penghakimannya hakim memutuskan seperti yang berikut:

 

Dengan izin, “ …the imposition of a term of imprisonment for life is wholly inadequate as it does not reflect the gravity of the offence and the circumstances of the case against him, his record of previous convictions, the public interest involved in respect of crimes of this nature and a sufficient factor of deterrence to others of his ilk. We accordingly allow the Public Prosecutor’s appeal against sentence in respect of the 2nd appellant, set aside the term of imprisonment for life and whipping imposed on him and substitute therefor the sentence of death.”.

 

  1. Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 2 November 2012 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah bersetuju agar Jabatan Peguam Negara mengkaji secara menyeluruh cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah antara lain Akta 234 agar hakim diberi kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman. Ini membuktikan bahawa kepimpinan YAB Perdana Menteri sentiasa melihat jauh kehadapan dan bersedia membuat perubahan mengikut peredaran masa.

 

  1. Dengan itu, satu kajian yang menyeluruh dan holistik berkaitan Hukuman Mati telah dijalankan oleh International Centre for Law and Legal Studies (I-Cells), Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama pakar-pakar antarabangsa dalam bidang ini dari tahun 2013 sehingga tahun 2016.

 

  1. Pada 5 September 2016, Kerajaan juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Berkaitan Hukuman Mati. Yang Berhormat Ipoh Barat juga salah seorang ahli Jawatankuasa Khas tersebut selain wakil-wakil daripada SUHAKAM, Amnesty International, Majlis Peguam Malaysia, Ahli Akademik, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya. Pelbagai isu berkaitan hukuman mati telah dibincangkan dalam mesyuarat ini sebagai proses konsultatif dengan semua pihak-pihak berkepentingan.

 

  1. Lantaran itu, pada 1 Mac 2017, Mesyuarat Jemaah Menteri setelah taklimat yang diberikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali, Peguam Negara, bersetuju agar seksyen 39B Akta 234 dipinda dengan memasukkan kuasa budi bicara kepada Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman selain mati mandatori dalam hal keadaan tertentu yang ditetapkan bagi kesalahan mengedar dadah di bawah seksyen 39B Akta 234.

 

  1. Susulan daripada itu, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara telah mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk dengan wakil-wakil daripada agensi penguatkuasaan yang berkenaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia sebelum memuktamadkan draf Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017. RUU tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 November 2017 di mana Jemaah Menteri sebulat suara telah bersetuju dengan RUU seperti mana yang berada di atas meja Yang Berhormat.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Hari ini, 30 November 2017 merupakan satu hari bersejarah dalam evolusi perubahan perundangan dadah Negara Malaysia. RUU ini akan memberi ruang budi bicara kepada Mahkamah serta mengekalkan prinsip consistency and fairness dalam menjatuhkan hukuman berdasarkan kepada kategori dan severity kesalahan yang dilakukan, misalnya bagi kesalahan mengedar dadah yang melibatkan “innocent carrier” dan “drug mules” yang mana pesalah sebenarnya lebih wajar hanya dihukum penjara, sedang dibacakan di Dewan Rakyat.

 

  1. Cadangan pindaan ini digubal dengan teliti dengan mengambil kira niat utama Kerajaan untuk melindungi kepentingan awam (public interest) dengan memberikan mesej pencegahan yang serius dan meningkatkan keberkesanan operasi bagi agensi penguatkuasaan termasuk PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam membanteras masalah pengedaran dadah di Negara ini.

 

  1. Cadangan pindaan ini memberi peluang kepada orang yang disabitkan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memberi maklumat yang mereka miliki khususnya berkaitan pihak-pihak terlibat dalam sindiket pengedaran dadah. Maklumat berkenaan boleh membantu agensi penguatkuasaan dalam usaha-usaha untuk membawa kepada penangkapan, penahanan atau pendakwaan mana-mana orang yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Secara keseluruhannya, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 ini mempunyai tiga (3) fasal seperti yang berikut:

 

  • Fasal 1 mengenai tajuk ringkas dan peruntukan mengenai   permulaan kuat kuasa;

 

  • Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 39B Akta 234      seperti yang berikut:

 

  • dengan menggantikan subseksyen (2) sedia ada dengan subseksyen (2) yang baru bagi memasukkan hukuman selain hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah berbahaya iaitu hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada lima belas kali;

 

  • memasukkan subseksyen (2A), 2(B) dan 2(C) baharu antara lain, bagi menyatakan hal keadaan tertentu yang hanya boleh diambil kira oleh Mahkamah;

 

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan juga akan melakukan satu pindaan diperingkat jawatankuasa terhadap perenggan-perenggan 39B (2A) (d), (2B) dan (2C) yang dicadangkan untuk memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada Mahkamah termasuk untuk menentukan orang yang disabitkan telah membantu agensi penguatkuasaaan dalam mengendalakan aktiviti pengedaran dadah di dalam atau di luar Malaysia.

 

Cadangan pindaan ini adalah dengan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak-pihak berkepentingan yang telah di kemukakan kepada Kerajaan. Pindaan ini menunjukkan keterbukaan Kerajaan khususnya Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara inklusif.

 

  • Fasal 3 adalah berkaitan peruntukan peralihan. Peruntukan Akta yang dicadangkan ini hendaklah terpakai bagi mana-mana orang yang telah dipertuduh tetapi belum disabitkan di bawah seksyen 39B Akta ibu oleh Mahkamah yang berwibawa pada tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan ini. Cadangan pindaan baharu kepada seksyen 39B Akta 234 tidak terpakai bagi kes yang menunggu rayuan, yang mana kes tersebut perlu melalui proses wajar sedia ada.

 

Walau bagaimanapun, mereka yang telah disabitkan mempunyai peluang merayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan selanjutnya membuat petisyen ke Lembaga Pengampunan.

 

Tuan Yang di-Pertua

 

  1. Saya percaya terdapat beberapa persoalan utama yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak yang perlu diperjelaskan.

 

  • Persoalan pertama, adakah Kerajaan berlembut apabila memperkenalkan kuasa budi bicara kepada Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman selain hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah berbahaya?

 

Tidak. Cadangan pindaan ini merupakan suatu inisiatif pihak Kerajaan bagi memastikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mandatori. Sesungguhnya Kerajaan tidak pernah, dan tidak akan berlembut dalam menguatkuasakan undang-undang pencegahan dadah demi menjamin ketenteraman awam. Kerajaan Malaysia tidak akan sama sekali berkompromi dengan jenayah-jenayah dadah yang merupakan ancaman kepada masyarakat umum dan negara.

  • Persoalan kedua, sama ada tindakan Kerajaan bahawa cadangan pindaan ini hanya terpakai bagi mana-mana orang yang telah dipertuduh tetapi belum disabitkan di bawah seksyen 39B Akta 234 adalah rasional?

 

Fasal 3 yang diperuntukkan dalam RUU ini telahpun menjawab persoalan ini. Persoalan berkaitan dengan hak kesamarataan sebagaimana yang termaktub dalam Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit. Hal ini demikian kerana RUU ini terpakai kepada mana-mana orang yang dipertuduh tetapi belum disabitkan.

 

Kerajaan berpegang kepada kedudukan bahawa haruslah terdapat kemuktamadan dalam prosiding undang-undang (“finality in law”). Oleh yang demikian, bagi mana-mana orang yang telah disabitkan oleh Mahkamah, dan berada dalam pelbagai peringkat rayuan termasuk dalam pertimbangan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Lembaga Pengampunan. Maka, adalah wajar bagi Mahkamah-Mahkamah tersebut dan Lembaga Pengampunan untuk membuat sebarang keputusan terhadap kes-kes tersebut berdasarkan fakta sesuatu kes.

 

  • Persoalan terakhir, sejauh manakah pindaan ini akan membantu pihak kerajaan khususnya agensi penguatkuasaan dalam menangani dan membanteras durjana dadah yang semakin menular dalam kalangan masyarakat?

 

Sememangnya cadangan pindaan yang dicadangkan oleh Kerajaan pada hari ini untuk memberi ruang budi bicara kepada Mahkamah. Pada masa yang sama, adalah syarat mandatori kepada orang yang disabitkan untuk membantu agensi penguatkuasaaan dalam mengendalakan aktiviti pengedaran dadah di dalam atau di luar Malaysia. Justeru, ini membuktikan Kerajaan serius dalam memperkasakan lagi agensi penguatkuasaan dalam membanteras gejala ini secara habis-habisan sehingga mencari dan menangkap bukanya sahaja dengan izin drug mules atau innocent carrier tetapi tokan-tokan dadah di luar sana.

 

  1. Pendek kata, hasrat Kerajaan adalah sentiasa untuk tegakan keadilan meskipun langit akan runtuh seperti kata-kata latin fiat justitia ruat coelom.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang juga merupakan Ketua Majlis kita, pernah berkata bahawa masyarakat perlu mengelak daripada bersikap, dengan izin, ‘not me syndrome’, sebaliknya bersama memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah di komuniti masing-masing. Beliau menegaskan bahawa, usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu ditangani secara kolektif oleh semua pihak untuk mengelaknya menjadi lebih buruk dan membawa ancaman keselamatan kepada negara.

 

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

Share This:




Berita Bertarikh pada 30 November 2017 2:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]