Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rasuah: Pegawai polis dipenjara enam tahun

25 FEB: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Terengganu hari ini setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM25,000 tiga tahun lalu.

Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd. Izzwan Jamalud Din, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

Mohammad Haldar menetapkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu dilaksanakan serentak bermula dari tarikh sabitan hari ini di samping memerintahkanMohd. Izzwan membayar denda RM100,000 dan RM25,000 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Beliau juga mengarahkan hukuman penjara tambahan 24 bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan bagi pertuduhan kedua sekiranya tertuduh gagal membayar denda terbabit.

Bagaimanapun Mohd. Izzwan yang diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif gagal membayar denda berkenaan dan bakal menjalani hukuman penjara keseluruhan enam tahun di Penjara Marang.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu sewaktu kejadian didakwa meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya tidak menangkapnya berkait kes dadah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu antara pukul 7 hingga 8 malam pada 15 Ogos 2015.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Izzwan didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 daripada lelaki sama di sebuah restoran makanan segera di Kuala Berang, Hulu Terengganu kira-kira pukul 6.25 petang, 20 Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17(a) akta sama yang jika sabit kesalahanan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi secara berasingan jika sabit kesalahan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 February 2018 5:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: