Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rasuah: Reman dua ketua polis daerah dilanjut

22 MEI: Tempoh reman sembilan individu termasuk dua ketua polis daerah dilanjutkan lima hari, bagi membantu siasatan berhubung mengutip dan menerima wang sogokan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sekitar Melaka.

Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret  Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan tempoh reman disambung ke atas suspek terbabit sehingga 27 Mei.

Mereka yang ditahan termasuk dua ketua polis daerah masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan dan dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan.

Terdahulu, semua suspek tiba di pekarangan mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari pada jam 9.23 pagi tadi.

Kesemua mereka sebelum ini direman enam hari sejak 17 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Selain sembilan individu itu, seorang anggota polis berpangkat koperal dan orang awam turut direman berhubung kes sama.

Penahanan 11 suspek itu adalah usaha SPRM untuk membanteras kegiatan rasuah membabitkan judi dan rumah urut haram yang masih berleluasa ekoran sikap tidak berintegriti kalangan anggota penguatkuasa.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 May 2017 1:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: