Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rasuah: Reman Koperal RM800,000 dilanjut

24 MEI: Tempoh reman seorang koperal polis dan pemandu van dilanjutkan enam hari bagi membantu siasatan kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di Melaka.

Perintah lanjutan reman bermula esok hingga 30 Mei ini dikeluarkan Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anggota polis berusia 52 tahun itu di rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 2.15 petang.

Dalam serbuan itu, suruhanjaya itu merampas wang tunai berjumlah RM800,000 dalam stor di rumah koperal berkenaan.

Pemandu van yang dipercayai menjadi orang tengah dalam kegiatan itu ditahan SPRM Khamis lalu di Ibu Pejabat SPRM selepas memberi keterangan kira-kira jam 9 malam.

Difahamkan, akaun bank suspek lelaki berusia 32 tahun itu digunakan untuk memasukkan wang perlindungan yang dibayar pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sebelum diagihkan kepada yang lain.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini jam 9.15 pagi berbaju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.

Sehingga kini, seramai 12 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 May 2017 12:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: