Kategori Berita Utama

Razali cadang runding tapi jika wujud penipuan ia tugas polis

23 DIS: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berpendapat pintu rundingan antara FELDA dan syarikat yang didakwa terlibat dalam isu hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak perlu dibuka.

Beliau berkata, rundingan tersebut supaya isu pemilikan tanah berharga RM270 juta yang kini menjadi polemik tidak perlu sampai dibawa ke peringkat perundangan kerana akan mengambil masa yang panjang.

Walau bagaimanapun, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar menegaskan, kes melibatkan pihak polis tidak boleh dirunding sekiranya wujud ketidakpatuhan atau timbulnya unsur ‘fraud’ dalam isu kehilangan tanah milik FELDA berkenaan.

“Pada saya pintu rundingan (dengan syarikat) perlu dibuka supaya tak perlu (isu hak milik) sampai ke peringkat mahkamah yang akan berpanjangan, tetapi kes polis tidak boleh dirunding.

“Satu peringkat akan selesai tetapi (kaedah) penyelesaian bergantung (mengikut keadaan). Sebab saya pun fikir macam ini, apa pun yang berlaku, syarikat terbabit akan juga terpaksa jumpa FELDA.

“Itu yang Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi FELDA) sebut. Sampai kena pindah hak milik tanah. Sudahlah berlaku macam itu, banyak pula persoalannya. Kalau kita nak bangunkan tempat itu, ada cara yang lebih baik. Menguntungkan pihak yang terbabit tetapi apa yang berlaku tidak sedemikian. Yang ini kita nak perbetulkan dan saya yakin ia dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Wilayah Selatan 2 di Hotel Traders di Muar, hari ini.

Tambah Razali, pengurusan FELDA sudah berbincang dengan penasihat undang-undang di Jabatan Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum ini.

“Sebab itu keluar perkataan seperti ‘ketidakpatuhan’ kalau wujud, ‘fraud’ jika wujud dan ‘rasuah’ jika wujud. Ia bukan hanya di peringkat FELDA saja tetapi juga di agensi lain.

“Jadi, perkara ini bagi saya, kita serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan. Seperti yang saya sebut sebelum ini juga, kita juga akan membuat ‘forensic auditing’ pada Januari ini terhadap isu berkenaan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi meragukan sejak 2015.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower 1A.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 December 2017 3:01 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: