Kategori Berita Utama

RCI Bank Negara, rakyat perlu tahu dalang kerugian

1 JULAI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan satu langkah tepat bagi mendedahkan dalang disebalik kejadian yang berlaku pada awal 90 an.

Menurut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sepanjang siasatan, suruhanjaya itu mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat, memanggil pihak yang berkaitan serta mendapatkan dokumen yang dikategorikan sebagai rahsia besar.

“Kita lihat seolah-olah ada pihak yang ingin menutup segala yang berlaku kerana jawapan di Parlimen mengelirukan. Jika kerugian yang membabitkan puluhan bilion ringgit boleh ditutup, pasti ada pihak tertentu yang mengarahkan supaya kes ini diselewengkan atau ditutup.

“Rakyat sudah pasti ingin tahu siapa sebenarnya di belakang segala isu. RCI juga adalah badan bebas yang bukan dilantik kerajaan, tetapi oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka ada kuasa yang meluas dan kita ada lebih peluang untuk mendapatkan kebenaran,” katanya hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong yang dihadiri lebih 20,000 penduduk Bera.

Beliau bagaimanapun menolak dakwaan bahawa penubuhan RCI bersifat politik kerana penubuhan suruhanjaya itu bermula daripada dapatan Pasukan Petugas Khas yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

“Malah, dalam kes ini juga tiada tempoh masa. Jadi sekarang adalah masa untuk kita mendapatkan kebenaran dan ketelusan daripada siasatan RCI,” kata Ahli Parlimen Bera.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri mengulas mengenai gesaan pembangkang yang menuntut RCI ditubuhkan bagi menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berkata terdapat perbezaan antara kedua-dua kes itu.

“Isu berkaitan 1MDB sudah melalui siasatan pelbagai pihak berkuasa dan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berbeza dengan kes kerugian BNM yang sehingga kini tidak pernah disiasat.

“Semua pihak berkuasa membuat siasatan termasuk PAC yang juga diwakili pihak pembangkang. Jadi 1MDB tidak perlukan RCI kerana jika diwujudkan akan berlaku pertindihan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 July 2017 5:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: