Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

RELA bantu PDRM kawal aliran trafik hari pengundian

14 APRIL: Pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diberikan tanggungjawab untuk membantu anggota polis trafik mengawal lalu lintas semasa hari pengundian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata cadangan itu diluluskan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim setelah Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin mengemukakan cadangan itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata cadangan itu diluluskan berikutan pihaknya tidak mahu kejadian provokasi pada pilihan raya umum sebelum ini berulang.

“Lalu lintas akan terus dijaga oleh polis trafik tetapi dibantu RELA. Mereka (RELA) bukan mahu ambil alih peranan polis tetapi sekadar membantu polis trafik sahaja.

“Kita tidak mahu lagi ada pihak yang menghalang kenderaan yang membawa pengundi seperti yang terjadi dalam PRU12 dan 13 lalu,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari RELA ke-46 peringkat negeri Perak hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Alwi dan Zulkifli.

Lebih 5,000 anggota dan pegawai RELA seluruh negeri hadir pada sambutan yang diadakan di Waterfront Bagan Datuk.

Dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid menjelaskan tidak ada istilah pengundi hantu sebagaimana didakwa sesetengah pihak kerana pengundi yang datang untuk mengundi bukan sahaja pengundi tempatan, malah juga pengundi yang tinggal di luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Daripada laporan yang dibuat oleh pihak PDRM, kita dapati beberapa hotspot dan kawasan flash point terdapat usaha menghalang kenderaan-kenderaan pengundi untuk datang bawa pengundi.

“…maka untuk mengelak keadaan itu, kita telah minta pihak polis supaya tidak memihak, sebaliknya dengan membenarkan mereka menterjemahkan proses demokrasi, maka kita harap lalu-lintas akan berjalan dengan lancar dan tidak ada provokasi dilakukan sebagaimana PRU lalu,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata sumbangan anggota RELA yang merupakan benteng kedua keselamatan negara itu akan mengurangkan beban yang digalas PDRM, terutama di bahagian lalu-lintas pada hari pengundian, 9 Mei ini.

Ahmad Zahid turut menegaskan tujuan RELA menbantu kawalan lalu-lintas semasa hari pengundian bukan bertujuan mengambil peranan polis.

“Mengikut SOP (prosedur operasi standard) PDRM, setiap masa mesti ada polis trafik. Mungkin jumlah mereka sedikit berbanding jumlah kenderaan datang dan keluar, maka inilah tugas RELA membantu anggota trafik.

“Mereka tidak akan sesekali mengambil alih sepenuhnya tugas polis trafik bagi menjaga lalu-lintas,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menyarankan anggota dan pegawai RELA agar keluar awal mengundi pada hari mengundi dan kemudian menyarung uniform bertugas bagi membantu polis trafik menjaga lalu-lintas.

Dalam majlis sambutan hari ulang tahun RELA ke-46 peringkat negeri itu, Menteri Besar Perak mendahului senarai enam individu yang menerima pemakaian pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya RELA (Kehormat) yang disampaikan oleh Ahmad Zahid.

Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Zulkefli Salleh turut menerima pemakaian pangkat sebagai Pesuruhjaya Kanan RELA (Kehormat).

Mengikut rekod, Perak mempunyai 226,361 anggota RELA daripada keseluruhan 3.06 juta anggota di seluruh negara.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 April 2018 10:34 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: