Kategori Ekonomi

RHB & Ambank bakal bergabung

1 JUN: RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) menerima kebenaran Bank Negara Malaysia untuk memulakan perbincangan mengenai proses penggabungan kedua-dua bank.

Dalam satu kenyataan bersama, RHB Bank dan Ambank Group, berkata mereka akan memulakan rundingan eksklusif sehingga 30 Ogos depan.

Jika penggabungan berkenaan menjadi kenyataan, nilai gabungan aset kedua-dua entiti itu adalah RM365.9 bilion, kekal keempat terbesar namun semakin hampir untuk menyamai bank ketiga terbesar negara iaitu Public Bank Bhd dengan saiz aset RM389.73 bilion.

Dari segi rangkaian cawangan, RHB Bank mempunyai 278 cawangan dengan lebih 16,000 kakitangan, manakala Ambank Group memiliki 175 cawangan dengan lebih 12,000 kakitangan.

Seorang penganalisis berkata, rancangan penggabungan itu akan membolehkan RHB Bank menjanakan potensi pertumbuhannya dan menjadi lebih kompetitif di peringkat serantau selepas rundingan penggabungan dengan CIMB dan Malaysia Building Society Bhd gagal pada Januari 2015.

Namun begitu, beliau berkata, langkah itu juga akan menyaksikan pertindihan cawangan jika kedua-dua syarikat kewangan itu beroperasi di lokasi yang sama sekali gus memungkinkan berlakunya pengurangan kakitangan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pihaknya yakin jika cadangan penggabungan itu berlaku, ia akan mewujudkan sinergi yang lebih besar untuk perbankan kumpulan.

“Ia akan menjadikan kumpulan perbankan ini lebih kukuh selain mewujudkan skala dan kepimpinan pasaran seluruh segmen perniagaan utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ambank Group, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata pihaknya juga menerima penggabungan ini dan menyifatkan ia adalah sebagai satu langkah transformasi.

“Kekuatan kami digabungkan dalam semua segmen perniagaan utama terutamanya dalam perbankan runcit dan pelaburan,” kata beliau lagi.

Pemegang saham terbesar Ambank Group ketika ini adalah Australia and New Zealand Banking Group Ltd (ANZ) dengan pegangan 23.78 peratus manakala pengasasnya, Tan Sri Azman Hashim pula mempunyai kepentingan sebanyak 12.97 peratus.

Memetik Bloomberg, sebanyak 41 peratus pegangan RHB Bank dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sementara Aabar Investments PJS dengan 17.75 peratus saham dan OSK Holdings Bhd dengan 10.13 peratus. KWSP juga memiliki 10.04 peratus ekuiti dalam Ambank Group.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 June 2017 8:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: