Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

RM300 juta diperuntuk biaya kos penyelenggaraan, naiktaraf PPR

14 JUN: Sejumlah RM300 juta telah diperuntukkan bagi membiayai kos penyelenggaraan dan menaik taraf kira-kira 75,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pangsapuri kos rendah di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kos penyelenggaraan itu turut merangkumi kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf kemudahan flat-flat dan pangsapuri di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan swasta.

“Kami sedang mengenal pasti PPR dan pangsapuri yang mengalami kerosakan teruk seperti laluan berlubang, lif rosak serta tandas bocor yang perlu disegerakan penyelenggaraannya bagi keselesaan penduduk.

Penyelenggaraan dan kerja menaik taraf kemudahan akan dijalankan mengikut fasa sebaik sahaja mendapat aduan daripada penduduk mengenai keadaan kawasan kediaman mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Parlimen Wangsa Maju di PPR Gombak Setia, di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya setakat ini kerja-kerja penyelenggaraan telah mula dilaksanakan di PPR sekitar Parlimen Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Setiawangsa secara berperingkat sejak awal tahun ini.

Tengku Adnan turut meminta penduduk-penduduk PPR supaya menjaga kebersihan dan memelihara kemudahan yang dibina di kawasan kediaman mereka.

“Kerajaan memberi kadar sewa murah serendah RM54 sebulan kepada warga kota untuk PPR dan mereka sepatutnya membantu kerajaan menjaga kebersihan dan bukannya membiarkan kemudahan itu rosak tidak dibaiki,” katanya.

Dalam majlis itu, Tengku Adnan turut mengumumkan sumbangan wang tunai RM30,000 dari Yayasan Wilayah Persekutuan untuk menaik taraf kemudahan masjid yang terlibat dalam program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan wang dan bahan makanan kepada 500 golongan asnaf, anak-anak yatim dan ibu tunggal dari Parlimen Wangsa Maju.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 June 2017 5:23 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: