Kategori Berita Utama

Rodziah bakal Ahli Lembaga Pengarah PKNS ganti Azmin?

12 FEB: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan tiga orang Exco kerajaan negeri iaitu Iskandar Samad, Datuk Teng Chang Kim serta Rodziah Ismail bagi memantau perbelanjaan dana-dana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Khalid membuat pengumuman itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pada Rabu yang mendengar taklimat Pengurus Besar PKNS yang baru Azlan Alfiah mengenai pengurusan kewangan agensi kerajaan negeri Selangor itu sejak 6 tahun lalu.

Menurut Khalid, berdasarkan taklimat oleh Azlan, didapati terdapat isu-isu melibatkan tatacara penggunaan dan perbelanjaan dana yang perlu diperbaiki.

Selain itu, kata Khalid, pihaknya juga dimaklumkan terdapat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyia (SPRM) terhadap dakwaan salah guna dana bolasepak yang belum selesai.

“Demi prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, saya melantik YB Iskandar, YB Dato’ Teng dan YB Rodziah untuk memantau perbelanjaan dana-dana PKNS.

rodziah

Rodziah

“Pemantauan melibatkan dana perbelanjaan Kelab Bolasepak PKNS (PKNS FC) sebanyak RM9 juta setahun, pembangunan usahawan sebanyak RM5 juta setahun serta aktiviti tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) sebanyak RM30 juta setahun” kata Khalid.

Iskandar, Pesuruhjaya PAS Selangor adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar.

Teng pula adalah Naib Pengerusi DAP Selangor dan merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Manakala Rodziah, Ketua Wanita PKR Selangor adalah Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Selain untuk membuktikan ketelusan pentadbiran beliau, tindakan Khalid mengumumkan tiga pelantikan berkenaan pada hari ini turut dilihat bertujuan menggambarkan beliau masih bertugas seperti biasa sebagai menteri besar disebalik spekulasi kononnya beliau akan digantikan.

Ura-ura kedudukan beliau sebagai menteri besar akan berakhir tambah kuat apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac nanti.

Pelantikan Rodziah pula membayangkan ada kemungkinan Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat itu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah PKNS bagi mengisi kuota wakil PKR ekoran penguguran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak, Azmin Ali baru-baru ini.-bnbbc.my

Khalid Ibrahim Tweet PKNS

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 February 2014 3:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: